Rupanya cerita anak bulan tidak tamat. Sememangnya tidak akan tamat. Kenapa? Sehingga hari ini, kriteria atau sifat anak bulan yang memenuhi justifikasi 'boleh nampak' masih dalam kajian ahli falak. Justifikasi 'boleh nampak' masih belum sempurna. Dek kerana itulah, rukyah masih diteruskan. Apakah apabila sudah sempurna, rukyah dihentikan? Pun tidak. Alam berubah, walau bukan drastik. Ini yang menarik. Menghentikan rukyah, adalah berhenti melihat alam, yang jika berlaku perubahan kecil, yang menjadi besar selepas puluhan tahun, siapa yang akan menyedarinya? Apabila pemerhatian sudah dihentikan, ilmu mengenainya akan hilang, dan memulakannya semula..... fikir sendirilah. Sekarang pun orang lebih percaya NASA daripada mulut orang kita sendiri, walaupun cerita itu bukan NASA punya pun. Hanya rekaan untuk melariskan 'mass SMS' yang menguntungkan sesetengah pihak.
Waktu solat. Setiap hari kita laksanakan solat, menggunakan jadual yang telah dibuat sejak tahun lepas. Sebelum Muharram. Waktu yang terpapar itu pasti? Walau tidak banyak, cerapan (atau rukyah) matahari masih dilakukan untuk pelbagai tujuan falak. Namun hasilnya boleh digunakan untuk menilai perubahan pergerakan matahari yang mungkin memberi kesan terhadap waktu solat. Dengan kata lain, matahari juga masih 'dirukyah'.
Berbalik tentang anak bulan. Sebenarnya ada dua isu di sini. Hukum jelas. Lihat perbincangan tentang wajib atau harus, bab matlak dan sebagainya. Tiada ulasan lanjut saya akan berikan. Fokus saya adalah tentang 'rukyah' itu sendiri. Apakah anak bulan yang dilaporkan nampak di sesetengah negeri/negara itu benar-benar anak bulan, atau objek lain yang mengelirukan. Ini pernah dan kerap berlaku. Siasatan ahli jawatankuasa mendapati jawapan mereka yang mendakwa nampak anak bulan adalah antara berikut;
1. Saya nampak anak bulan itu bergerak di langit pada arah barat daya menuju barat laut.
2. Setiap orang daripada satu kumpulan yang mengkhabarkan ada antara mereka nampak anak bulan memberikan jawapan - 'bukan saya nampak, ada orang kata ada orang nampak'.
3. Saya nampak, ia bercahaya terang seperti sebutir bintang.
4. Saya nampak, ia berbentuk garis lurus yang halus di langit.
5. Anak bulan yang didakwa nampak hari itu pada ketinggian (altitud) 10 darjah, keesokannya 'bulan sabit' jelas kelihatan juga pada ketinggian sekitar 10 darjah.
Kesemua laporan di atas adalah bukan anak bulan.
Justeru, bukan soal hukum menurut atau tidak, bukan soal rukyah atau hisab, ia soal menentusah sesuatu kenampakan itu hanya dakwaan atau kenampakan sebenar. Disinilah peranan hisab, bagi menafikan kenampakan sebegini. Dan saya percaya, hukum penafian menggunakan hisab ini juga jelas.
Itu isu pertama. Isu kedua, analisis rukyah yang digunakan untuk membentuk model kenampakan, yang menjadi syarat atau kriteria bagi penetapan awal bulan. Model yang digunakan tentunya yang minimum, supaya ia menjadi 'batas' untuk justifikasi 'boleh nampak atau tidak', yang menjadikan suatu bulan itu 29 atau 30 hari dalam penyusunan takwim. Menjelang awal Ramadhan dan Syawal, hendak ikut takwim atau keputusan rukyah? Bagi anak bulan yang sifatnya di atas kriteria minimum, mungkin tiada masalah. Tetapi kalau musim tengkujuh lalu, semua tempat tidak kelihatan, walau sifat anak bulan adalah boleh nampak, bagaimana? Takwim 29 hari. Guna rukyah? 30 harilah. Sila 'liquid' takwim, tambah satu hari. Begitu? Cetak semula jawabnya. Banyak sangat hendak dipadam. Jangan harap takwim hijrah akan menjadi takwim utama jika begini sifatnya.
Penggunaan kriteria minimum, dan ketika anak bulan juga sifatnya pada garis minimum, yang tentu berada dalam kondisi 'amat sukar untuk kelihatan' yang lebih dekat kepada 'belum pernah kelihatan lagi dalam kondisi ini, mungkin boleh nampak..Insya Allah', bagaimana?
Jom rukyah. Anak bulan pun tak kenal, macam mana nak bincang?
- ATR
No comments:
Post a Comment