Thursday, July 26, 2012

Rukyah (رؤية)

Salam.

Sesungguhnya saya cuba mengelakkan penggunaan Nas sebagai dalil bagi setiap penulisan saya. Kenapa? Pertama, perbincangan melibatkan Nas menjurus aspek hukum, yang sudah banyak dibincang di merata siaran oleh mereka yang lebih layak. Kedua, fokus saya adalah memahami suatu aktiviti itu sendiri, yang mana pada pandangan saya, itulah pokok masalah kepada apa yang berlaku hari ini. Contoh mudah, apabila berlaku kematian, semua orang pasti tidak asing dengan hukum Faraid, tetapi berapa kerat yang tahu pembahagiannya? Malah boleh menghitung pembahagiannya?
Staf JUPEM sedang menyemak posisi Matahari

Demikian intipati isu saya kali ini, Rukyah dengan sebutan Arab رؤية dan amat sinonim dengan Anak Bulan (هلال). Persoalan dan isu berkaitan saya ringkaskan seperti berikut:

1. Rukyah melibatkan aktiviti mencerap Matahari dan Bulan (Anak Bulan) pada petang hari ke 29 Hijriyah, bagi penentuan awal bulan baharu.

2. Mencerap Matahari bermaksud merekod posisi dan pergerakan Matahari untuk beberapa waktu dan dibandingkan dengan data pra-hitungan (hisab). Cerapan ini penting untuk menentusah kedudukan pemerhati dan kedudukan Anak Bulan dengan betul. Jika terdapat perbezaan bacaan Matahari, bermakna ada kesilapan hitungan, kesilapan pemasangan alat, silap tempat, kesilapan pembacaan/pemerhatian dan sebagainya. Ia juga bermaksud kedudukan Anak Bulan juga menjadi 'tidak pasti'. Ketidakpastian menyebabkan rukyah dilakukan secara mata kasar atau binokular dengan arah secara anggaran sahaja. Banyak kes kenampakan Anak Bulan, nampak melalui alat, tetapi masih gagal dikesan dengan mata kasar. Dan hampir separuh masih tidak nampak hingga akhir walau sebahagian lain telah nampak dengan mata kasar.

Contoh data pra-hitungan
3. Aktiviti ini memerlukan rukyah dilakukan sebelum Matahari terbenam, malah seawal 1.5 jam sebelum Maghrib. Situasi di Malaysia, aktiviti ini dilakukan oleh Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM). Anggota lain (termasuk orang awam) biasanya datang sekitar setengah jam sebelum Maghrib, dan agak hairan kerana melihat 'rukyah sedang dilakukan', hingga timbul pertanyaan - 'sudah nampak ke?'.

4. Setelah pemerhati berpuas hati dengan cerapan Matahari dan perbandingan data pra-hitungan, barulah cerapan atau rukyah Anak Bulan dilakukan ketika Maghrib menjelang. Hitungan moden masa kini, telah berada pada kejituan yang tinggi, hingga mustahil (pada adat) untuk silap. Kesilapan berlaku pada aspek lain - alatan, fokus kanta, manusia dsb. Rukyah dilakukan dengan menumpukan perhatian dan fokus alat pada arah yang dinyatakan dalam data pra-hitungan. Pada masa yang sama, memerhati sebarang objek istimewa yang mungkin wujud sebagai objek hampir serupa Anak Bulan.

5. Justeru, mereka yang melakukan rukyah, perlu melengkapkan diri dengan ilmu rukyah, bukan hukumnya semata. Orang yang merukyah, atau saksi yang baik, adalah mereka yang kenal akan Anak Bulan. Ibarat pengesan jejak, yang mengenali bunyi tapak harimau atau manusia tanpa melihatnya, demikian mereka yang kenal, bila diceritakan, sudah tahu itu Anak Bulan atau objek yang dikelirukan sebagai Anak Bulan.

6. Gambar di bawah adalah contoh Anak Bulan baru-baru ini. Di kalangan kira-kira 80 pelajar yang hadir, hampir sepertiga masih tidak dapat melihat dengan mata kasar, hingga akhir. Ini hari ke 30. Anak Bulan hari ke 29 adalah lebih halus lagi (atau tiada langsung - tidak boleh nampak). Fikir-fikirkanlah.


Anak Bulan menerusi teleskop

Anak Bulan menerusi lensa kamera


Hingga ke lain catatan, hamba yang daif menekan noktah.



- Posted using BlogPress from my iPad

No comments: