Tuesday, July 31, 2012

Rukyah dan Hisab - Pandangan Al-Qardhawi

Salam.

Isu Rukyah dan Hisab seperti tidak selesai. Bagi saya, kunci masalah bukan pada hukum. Ini telah dijelaskan dengan panjang lebar oleh Ulama terkemuka, antaranya Syeikh Dr Al-Qardhawi. Artikel beliau boleh ditemui di laman web 'qaradawi.net', pada link (http://mail.qaradawi.net/articles/86-2009-12-12-10-35-10/4251-2012-07-17-07-38-10.html) untuk bacaan lanjut.

Saya ringkaskan pandangan beliau seperti berikut:

Dalam hal ini ada tiga hakikat: 

(1) Bahawa penggunaan hisab atau rukyah ada rujukan ulama terdahulu yg jelas, dan setiapnya ada dalil. Maka tidak boleh bertelagah antara satu sama lain atas masalah ijtihad. 

(2) Kesilapan bukan sengaja yang berlaku dalam hal ini adalah 'dalam keampunan Allah', dan tidak mengganggu akan sahnya puasa atau haji. 

(3) Usaha penyatuan ummah kepada satu asas sistem takwim global adalah mesti diteruskan. Jika tidak boleh, sekurang-kurangnya penyatuan dalam skala lebih kecil terutama satu negara. Tidak harus dalam satu negara satu puak berpuasa, dan satu puak menyempurnakan 30 syaaban. Satu puak berhariraya, dan satu puak berpuasa 30 ramadan. Bila pihak berkuasa menetapkan tarikh, perlu patuh kerana ia perkara makruf, walau berbeza dengan negara jiran.

Justeru, kaedah yang digunakan oleh pihak berkuasa negara ada sandarannya. Demikian juga negara jiran, ada sandarannya.

Masalah sebenar menurut pandangan saya yang daif ini adalah pada hakikat no (2). Kesilapan manusia. Kesilapan mengenalpasti anak bulan yang sebenar semasa rukyah dilakukan. Memang dimaafkan bagi kesilapan yang tidak disengajakan. Cuma banyak 'laporan kenampakan' berada dalam ketegori 'oleh mereka yang tidak dapat mengenalpasti anak bulan dengan baik', malah mungkin kategori 'tidak kenal pun rupa anak bulan'. Apakah dakwaan kenampakan mereka boleh diterima?. Menurut Al-Qardhawi lagi, boleh menggunakan hisab qati'e untuk menafikan dakwaan kenampakan yang meragukan.

Untuk menyatukan ummah melalui penggunaan takwim yang sepadu, usaha pengembangan dan kefahaman ilmu falak (sekurang-kurangnya dalam aspek rukyah dan hisab) perlu digiatkan dengan apa cara yang sesuai.

Saya yg daif menekan noktah.

Tambahan (t/kasih ustaz Hardi - PAD Sabak Bernam) : Hisab qati'e adalah hitungan (falak) yang benar lagi muktamad tentang adanya (atau tiada) hilal atau kriteria yang jelas tentang sabitan kebolehnampakan hilal.

No comments: