Sunday, November 10, 2024

Rukyah Hilal Pada Hari Hilal Tiada Kemungkinan Kelihatan

 Penetapan awal bulan Hijriyah bagi penyusunan kalendar adalah berdasarkan hitungan awal bulan yang dengannya diketahui sama ada suatu bulan Hijrah itu 29 hari, atau 30 hari, menurut kriteria kenampakan 'imkanurrukyah' yang digunakan. Berdasarkan kaedah imkanurrukyah Malaysia yang baharu tahun 2021, di mana 1 Rabiulakhir 1446 adalah pada 4 Oktober 2024, maka tarikh 29 Rabiuakhir 1446 adalah pada 1 Nov 2024 yang lalu. Bagaimanapun, hitungan menunjukkan bahawa hilal tidak wujud di atas ufuk pada petang tersebut. Rukyah yang dilakukan di beberapa lokasi di Malaysia juga menunjukkan keputusan yang sama, tiada kenampakan.


Rukyah hari berikut telah dijalankan juga di beberapa lokasi di Malaysia dan beberapa lokasi melaporkan kenampakan sebagaimana dijangkakan.


Perlu difahami bahawa faktor cuaca terutama awan memainkan peranan besar dalam laporan kenampakan. Keberadaan dan jenis awan boleh menurunkan peluang kenampakan dari mudah menjadi sukar. Kenyataan di atas juga mewajarkan tarikh 1 Jamadilawal 1446 jatuh pada 3 Nov 2024 sebagaimana takwim/kalendar.

Seterusnya ini menjadikan 1 Dis 2024 adalah bersamaan 29 Jamadilawal 1446. Pada petang tersebut, lihat rajah kenampakan di bawah.


Sekali lagi data hitungan menunjukkan hilal tidak wujud di atas ufuk selepas matahari terbenam. Bulan terbenam kurang 1 minit selepas matahari terbenam. Berdasarkan data, takwim menunjukkan tarikh 2 Dis 2024 adalah bersamaan 30 Jamadilawal 1446. 



Ragam sifat hilal pada hari 29 sepanjang tahun berubah-ubah. Tidak mesti apabila rukyah pada hari 29 bulan ini, dan bulan kelihatan, lalu rukyah hari 29 bulan depan, bulan "boleh kelihatan juga". Terlalu banyak faktor dan elemen pergerakan bulan, bumi dan matahari yang akan menyebabkan rukyah setiap bulan sangat menarik, dan sangat wajar sentiasa dilakukan, tidak kira data menunjukkan bulan ada di atas ufuk, tiada di atas ufuk, bulan terbenam sama dengan matahari dan sebagainya. 

Ikut sahaja susunan takwim, rukyah adalah pada hari 29, sama ada esoknya 30 atau 1hb, rukyah 'hari berikut' boleh mengesahkan rukyah hari 'sebelum', dan begitulah yang dilakukan oleh ahli-ahli/penggiat falak dan petugas falak di seluruh Malaysia, dan dunia amnya.

Tiada istilah "Rukyah pada hari hilal tiada adalah hari yang salah". Penulis tidak tahu bagaimana susunan dan jumlah hari sebulan takwim jika tiap kali rukyah hari 29 MESTI ada hilal, nampak atau tidak sahaja", kerana setahun Hijriyah MESTI 354 atau 355 hari sahaja.





Tuesday, October 15, 2024

Maghrib, Syuruk, Senja dan Fajar

Foto diambil 12 minit selepas maghrib.

Menurut falak, cahaya senja bermula sebaik matahari terbenam (matahari dalam 1° di bawah ufuk, agak sukar membezakan warna langit detik ini) dan berakhir apabila matahari sekitar 18° di bawah ufuk, ketika langit mencapai kegelapan penuh (tanpa gangguan cahaya bulan, awan, atau lampu bumi).
Falak juga membahagikan senja/syafak kepada 3 bahagian atau peringkat, iaitu, ketika matahari terbenam (ghurub) hingga 6° bawah ufuk (hingga 24 minit selepas ghurub) dinamakan 'syafak awam' (civil twilight) di mana langit masih cukup terang untuk aktiviti tanpa lampu (ada kereta masih belum pasang lampu ketika ini), manakala dari 6° hingga 12° bawah ufuk (24 hingga 48 minit selepas ghurub) dinamakan 'syafak kelautan' (nautical twilight) di mana ufuk laut (kaki langit) masih boleh dilihat terutama untuk navigasi laut.
Bermula matahari 12° hingga 18° bawah ufuk (48 hingga 72 minit selepas ghurub), dinamakan 'syafak astronomi' (astronomical twilight), langit sudah mula gelap, tetapi masih ada sedikit cahaya matahari pada langit yang mungkin mempengaruhi cerapan astronomi. Bermula 18° bawah ufuk, langit sudah betul² gelap ketika normal.
Sayangnya sekarang ini, banyak cahaya buatan yg mempengaruhi kecerahan langit tempatan, termasuk juga formasi awan dan cahaya bulan pada tarikh² tertentu yang menyukarkan kita melihat perubahan ini. Cahaya fajar adalah sama, cuma ia berlaku secara berlawanan dengan keterangan di atas, bermula dari gelap menuju cerah.
Detik paling sukar ialah membezakan kecerahan langit seketika sebelum dan selepas matahari terbenam, juga sebelum dan selepas terbit (syuruk), melainkan kita menyaksikan sendiri pergerakan matahari melepasi ufuk. Cahaya merah pula biasanya lebih jelas kelihatan dengan adanya awan, maka formasi cahaya langit tiap hari tidak sama.


Monday, August 26, 2024

Rabiul Awwal 1446


 29 Safar 1446 bersamaan 3 Sep 2024 di Malaysia. Sekalipun ada negara yang tarikhnya berbeda, ia tidak mengubah hakikat bahawa jika rukyah dilakukan pada 3 Sep, anak bulan hanya boleh kelihatan di zon B dan C (mungkin memerlukan alat optik), juga di zon D (melalui alat optik sahaja) lalu memulakan bulan baru pada 4 Sep. Manakala zon E, F dan A adalah zon tidak mungkin kelihatan dan memulakan bulan baru pada 5 Sep (Safar 30 hari). Bagaimanapun, zon A boleh saja menerima kenampakan zon B sebagai isyarat memulakan bulan Rabiul Awwal 1446 atas dasar lokasi bersebelahan. 

Seperti yang pernah penulis jelaskan, faktor cuaca boleh mengubah kategori zon, contohnya zon hijau B jika agak berawan, akan bertukar menjadi kuning atau biru, malah boleh menjadi merah (tidak kelihatan). Ini antara faktor imkanurrukyah mengenepikan aspek cuaca dalam hitungan dan jangkaan kenampakan.

Sekali lagi dinyatakan, jika ada negara menggunakan 'asalkan bulan di atas ufuk sekalipun tidak boleh kelihatan' sebagai asas (bukan rukyahtul hilal atau imkanurrukyah), maka zon F dan E akan memulakan bulan baru pada 4 Sep juga.

Jika ada soalan: 

1. Dimanakah garis yang memisahkan zon 'boleh nampak' dengan zon 'tidak boleh nampak'? 

Jawapan: Zon C atau D (dengan alat).

2. Dimanakah zon yang mana bulan berada di atas ufuk apabila maghrib, tetapi masih tidak boleh kelihatan kerana terlalu hampir dengan matahari?

Jawapan: Zon E dan F.

Sunday, July 14, 2024

Sekilas pandang awal Safar 1446

Sekilas pandang terhadap awal bulan Safar 1446.

Awal Muharam 1446 adalah pada 7 Julai 2024 (Ada juga yang bermula pada 8 Julai 2024).

Maka 29 Muharam 1446 adalah pada 4 Ogos 2024 (Yang satu lagi tentulah 5 Ogos).

Lihat data pada 4 Ogos;


Kenampakan pada 4 Ogos hanya boleh berlaku di utara Amerika. Boleh dikatakan kebanyakan negara akan memulakan bulan Safar pada 6 Ogos jika menggunakan kaedah 'imkanurrukyah'. Pengguna kaedah 'wujud hilal' (asalkan bulan terbenam selepas matahari terbenam) tentulah akan memulakan bulan Safar pada 5 Ogos.

Lihat data 5 Ogos;


Data 5 Ogos menunjukkan hampir semua negara ada 'imkanurrukyah'. Maka 6 Ogos adalah mula bulan Safar 1446, melainkan jika ada yang merukyah, dan tidak kelihatan, lalu memulakan Safar pada 7 Ogos.

Itulah kesan penggunaan sistem dan kriteria berbeza.

Penyatuan? Sesukar usaha menyatukan mazhab (yang sebenarnya tidak perlu disatukan pun)



Friday, July 5, 2024

Marhaban Muharram 1446

 Selamat tahun baharu Hijrah 1446. Marhaban Muharram 1446.

Umum menyedari bahawa permulaan Zulhijjah 1445 yang lalu agak 'panas' juga keadaannya apabila Saudi memulakan tarikh 1 Zulhijjah lebih awal berbanding rata-rata jangkaan hitungan, iaitu pada 7 Jun, berbanding 8 Jun di Malaysia dan kebanyakan negara lain. Negara yang sama dengan Saudi pula lebih menggunakan kaedah 'ikut Saudi'. Terdapat juga lokasi yang memulakan 1 Zulhijjah pada 9 Jun. Perlu maklum bahawa yang memulakan pada 9 Jun adalah juga disebabkan permulaan Zulqaedah mereka juga lebih lewat, dengan kata lain, hari rukyah juga sudah berbeza.

Baik. Berdasarkan ini, kita bahagikan tarikh 29 Zulhijjah tiap lokasi tersebut;

Saudi : 29 Zjh = 5 Julai 2024

Malaysia : 29 Zjh = 6 Julai

Lokasi 3 (tidak dinamakan): 29 Zjh = 7 Julai

Kita semak waktu ijtimak bulan-matahari awal Muharram : 6 Julai 2024, jam 7 pagi waktu Malaysia, 2 pagi waktu Saudi.

Ini bermakna ketika hari rukyah (walau mungkin tiada rukyah dilakukan tarikh ini) 5 Julai di Saudi, ijtimak belum berlaku. Lihat peta visibiliti anak bulan di bawah;

Tiada imkanurrukyah pada 5 Julai.

Malaysia adalah hari ke 28 Zulhijjah, manakala Lokasi 3 hari 27.

Pada 6 Julai, menjelang maghrib di Malaysia, tempoh ijtimak ke maghrib telah melebihi 12 jam.

Lihat peta, Malaysia berada dalam zon 'ada imkanurrukyah'. Boleh nampak. Apalagi negara yang lebih ke barat Malaysia seperti Saudi.

Pada 6 Julai ini;

Malaysia = 29 Zulhijjah

Lokasi 3 = 28 Zulhijjah

Saudi = 30 Zulhijjah 

Ini yang menjadikan pentarikhan ini lebih menarik untuk dibincang dan difahami isu penting dalam penyusunan takwim dan penetapan awal bulan. Malaysia dan Saudi (Saudi 30 Muh) akan memulakan 1 Muharram pada tarikh sama, iaitu 7 Julai. Manakala Lokasi 3 masih belum melakukan rukyah kerana hari 29 adalah pada 7 julai. Seawal mungkin bagi lokasi 3 memulakan tahun baharu adalah pada 8 Julai. Apa yang lebih menarik adalah, jika Lokasi 3 melakukan rukyah, dan menggunakan kaedah rukyah hakiki, Lokasi 3 tidak dalam zon 'boleh nampak hilal' dan meneruskan Zulhijjah untuk hari ke 30 pada 8 Julai, atau ikut negara sebelah, dengan memulakan 1 Muharram pada 8 Julai, ketika negara sebelah sudah memasuki 2 Muharram.

Inilah antara isu dan fakta yang menjadi perhatian dalam aspek penyusunan takwim dunia, tentang kesepaduan sistem, model ideal dan sebagainya yang masih dibincang sehingga hari ini. Apa yang ketara dalam isu di atas adalah, rukyah hakiki tidak dapat menjadi model ideal untuk sistem takwim global. Rukyah hakiki adalah 'tool' atau kaedah empirik, tajribah untuk mendapatkan model takwim terbaik.

Wallahu a'alam.

Wednesday, May 29, 2024

Menanti Zulhijjah 1445

Menjelang Zulhijjah 1445, sebagaimana takwim menunjukkan tarikh 6 Jun 2024 adalah tarikh ijtimak bulan matahari berlaku, bersamaan 28 Zulkaedah 1445. Manakala tarikh 29 Zulkaedah 1445 adalah bersamaan 7 Jun 2024. Secara kasar, kita sudah boleh agak bahawa Hilal sudah wujud pada petang/maghrib 7 Jun, dan inilah peta visibiliti yang sepadan dengan kedua² tarikh tersebut.

Selamat Hari Raya Haji/Korban 1445.

Tuesday, May 7, 2024

Menjelang Zulkaedah 1445

 Apabila 1 Syawal bersamaan 10 April 2024, maka tarikh 29 Syawal adalah bersamaan 8 Mei 2024. Kita lihat peta kenampakan hilal dunia pada tarikh 8 Mei 2024.


Melihat kepada peta visibiliti, kenampakan hilal hanya bermula dari tanah Arab. Malaysia pula berada dalam zon tiada kenampakan kerana bulan berada terlalu hampir dengan matahari ketika maghrib.


Bagi anda yang ingin melakukan cerapan, dan melihat hilal Zulkaedah 1445, maka tarikhnya adalah pada 9 Mei 2024. Menurut sistem takwim Malaysia, anak bulan tidak wujud pada petang 8 Mei, menjadikan ia wujud pada petang 9 Mei. Walaupun secara teknikal agak besar fasanya pada petang 9 Mei, namun ia tetap dinamakan hilal, kerana ia wujud pada malam pertama bulan Zulkaedah.


Selamat mencerap.



Monday, April 8, 2024

Menjelang Syawal 1445

Hari ini 28 Ramadhan 1445. 

Esok adalah hari rukyah bagi negara yang memulakan Ramadhan pada 12 Mac yang lalu. Bagi yang memulakan pada 11 Mac, hari ini adalah hari rukyah mereka, hari ke 29 bagi mereka.

Kita lihat kenampakan hilal pada maghrib 8 April 2024 bagi seluruh dunia.

Berdasarkan peta di atas, boleh dikatakan setiap maghrib di setiap lokasi, anak bulan pada kategori tidak kelihatan atau tidak boleh dilihat. Ini memungkinkan semua tempat tersebut akan meneruskan puasa keesokan hari, menjadi hari ke 30. Jika tidak, mereka tidak menggunakan kaedah kenampakan sama sekali. Jika ada laporan nampak, laporan itu sebenarnya boleh ditolak dengan merujuk hisab, sebagaimana dinukil dalam kitab fiqh. Lihat rajah kedudukan hilal bagi lokasi Malaysia, bulan telah terbenam lebih awal dan jauh ke bawah ufuk ketika maghrib.

Kita lihat pula peta kenampakan pada 9 April 2024. Ini untuk negara yang hari 29 adalah bersamaan 9 April. 


Peta menunjukkan warna hijau bagi hampir majoriti lokasi di dunia. Hampir semua tempat akan berpeluang nampak hilal jika cuaca baik. Rajah kanan menunjukkan kedudukan hilal ketika maghrib di Malaysia. 

Dalam kaedah fiqh rukyah pada keadaan hilal boleh kelihatan menurut hisab, dua pendapat masyhur ini dipakai oleh sebilangan negara. Pertama, sifat boleh nampak (imkanurrukyah) itu TIDAK BOLEH dipakai untuk memutuskan permulaan puasa dan hariraya. Kedua, sifat boleh nampak (imkanurrukyah) itu BOLEH digunakan untuk menetapkan tarikh puasa dan hariraya. Tidak hairan jika berlaku permulaan tarikh yang berbeza antara negara sekalipun hisab menunjukkan hilal boleh kelihatan.

Walaupun hisab menunjukkan hilal boleh nampak, pemutusan tarikh hari raya tetap tertakluk kepada perisytiharan oleh pihak berkuasa, seperti Malaysia, oleh Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja. 

Selamat merukyah kepada semua anggota rukyah, dan 

Selamat Hari Raya Aidilfitri.

Thursday, March 28, 2024

Lailatul Qadr kemuliaan melebihi seribu bulan

Lailatul Qadr kemuliaan melebihi seribu bulan.

Suapan kali ini tidaklah membincangkan topik meja penceramah. Bahkan hanya sisipan untuk perkongsian ringan sahaja.

Kita sedia maklum akan kehadiran 10 malam terakhir Ramadan yang ditunggu. 

Merujuk banyak hadis, kumpul, kita dapati ianya bermula dari malam 19 lagi. 

Hadis juga menunjukkan keutamaan malam-malam ganjil. Namun tidaklah ia menidakkan malam-malam genap kerana masyhur pada carian "10 malam akhir".

Lihat permulaan Ramadan sedunia yg lalu. Ada bermula 11hb, ada mula 12hb. Bermakna, ketika satu pihak malam 19, satu lagi malam 18. Satu malam 20, satu lagi malam 19. Satu malam 27, satu lagi malam 26. Satu malam ganjil, satu malam genap.

Apakah Lailatul Qadr datang pada satu malam, atau dua malam berturut? Fikir logik mudah sahaja. Satu malam sahaja. Bermula maghrib di satu bahagian dunia, terus ke barat hingga akhirnya kembali fajar terbit di timur di bahagian yang sama esoknya. Cukup satu malam Bumi. 

Ia berlaku pada malam ganjil di satu pihak, dan malam genap di satu pihak lagi. 

Maka carilah Lailatul Qadr di 10 malam akhir Ramadan.

Kurniakanlah kami malam itu Ya Allah.


Friday, March 15, 2024

Apa Yang Menarik Pada 8 April 2024?

Apa yang menarik pada 8 April 2024?

28 Ramadan di Malaysia dan sebahagian negara dunia.

29 Ramadan di sebahagian yg lain.

Gerhana penuh (total) matahari di Amerika.

Anak bulan tidak boleh kelihatan di hampir semua bahagian dunia pada maghrib 8 April. 

Menurut hitungan, anak bulan tiada imkan, memungkinkan 9hb masih Ramadan bagi yang menggunakan kaedah imkan dan rukyah.

Monday, February 19, 2024

Now in dual-language

After operating for so many years using Malay language, it has been observed that the use of appfalak.com site remains limited to the Malay-speaking zone, predominantly by Malay users. I can;t hide the joy seeing user's reception of appfalak.com, with its operations in Malay language. When mapping the application's usage, it was found to be limited to specific zones only, even though the existing application system can be used almost worldwide. I presume that besides the various astronomy application software or website available today, language may also play a role to limit my users. I believe not everyone can understand Malaysian Malay well, even if you are from Indonesia. Below is the distribution of application usage in Southeast Asia, which I believe quite clearly justifies my assumption.


Site review on worldwide use (map below) yields more or less the same result. Although there are users in several foreign countries, I believe these users originate from the same zone as the map above.




To introduce appfalak.com further to international users, appfalak.com now comes with an English language option accessible through the link at the top right corner. Perhaps the English used is not as good, but I believe users who prefer English will certainly understand it, thereby making appfalak.com may become one of the choices for astronomical applications in their activities and region.





Wish me luck, and thank you very much. Enjoy the night sky!

p.s. Hope you enjoy my english too... :)

Tuesday, February 13, 2024

Sampaikanlah Kami ke Bulan Ramadhan

 Syaaban telah tiba. Ketika rukyah awal Syaaban yang lalu, kedudukan hilal ketika maghrib amat menarik sekali, terutama bagi negara Malaysia. Berdasarkan syarat MABIM 2016, Malaysia "terbahagi" kepada dua zon kenampakan. Dalam konteks penetapan tarikh, tiada pembahagian kerana sistem satu negara digunakan. Saya hanya cerita dalam konteks kenampakan sahaja. Lihat rajah berikut:



Lihat perbezaan posisi hilal bagi Semenanjung, dan posisi hilal Sabah & Sarawak. Satu melepasi kriteria, dan satu tidak. Namun, dalam konteks penggunaan peralatan optik dan kamera, Sabah & Sarawak masih dalam zon 'boleh nampak dengan bantuan alat optik dan kamera'. Tidak mengejutkan jika menerima maklumat kenampakan dari Sabah/Sarawak. 

Lihat pula posisi hilal ketika maghrib di Arab Saudi, sebagai perbandingan sahaja.

Ketika maghrib di Saudi, hilal dalam kategori 'boleh nampak dengan mata kasar'.

Rajah di atas juga menunjukkan sifat hilal yang "semakin ke barat, semakin lewat maghrib, semakin mudah kenampakan"

Sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan. Amin.

Sekilas awal Ramadhan 1445:









Thursday, February 8, 2024

Bulan Fasa Sabit Tua

Setiap akhir bulan hijrah, ditandai dengan bulan fasa sabit tua, bulan sabit halus yang kelihatan di sebelah ufuk timur, sebelum terbit matahari. Sebelum hari ke 27 atau 28, ia masih boleh kelihatan walau matahari sudah terbit. Bermula pagi 28 atau 29, ia sukar atau tidak kelihatan apabila matahari sudah terbit kerana 'sabitnya' semakin halus. Pada pagi hari 29 atau hari 30 (jika anak bulan tiada pada hari 29), ijtimak telah berlaku, bulan akan terbit selepas matahari terbit, maka ia tidak lagi kelihatan sebelah pagi, tetapi sebelah petang selepas maghrib, kerana ia terbenam selepas maghrib atau ghurub matahari. Gambar adalah pada 8 Feb 2024, jam 7 pagi, 27 Rajab 1445.
Turut kelihatan adalah planet Zuhrah/Kejora (Venus)

Monday, January 15, 2024

Maghrib dan Syuruk

Waktu Maghrib bagi lokasi sama aras laut, dan lokasi lebih tinggi dari aras laut, berbeza waktunya. Semasa observasi dengan alat ukur, pemerhati di lokasi lebih tinggi akan dapati matahari belum terbenam walau sudut junaman sudah melebihi 90° dari zenit. Sudut 90° ini dinamakan ufuk hakiki (astronomical horizon), manakala ufuk mar'i (true horizon) adalah sudut yang mengambilkira ketinggian suatu lokasi observasi dari aras laut. Keadaan ini adalah serupa bagi waktu terbit matahari (Syuruk).


Satu lagi pengaruh kepada posisi matahari (dan objek langit yang lain) ketika observasi adalah pembiasan atmosfera dengan berbagai faktor seperti suhu, tekanan udara, humidity dan sebagainya. Untuk observasi, ada kaedah hitungan semasa atau berdasarkan data sebenar, di mana pemerhati perlu mengambil bacaan parameter yang diperlukan untuk mengira kadar pembiasan. Pilihan kedua adalah menggunakan kadar standard bagi parameter yang diperlukan. Untuk hitungan falak bagi keperluan ibadat yang dimasukkan juga kadar tamkin atau ihtiyati, umum menerima untuk menggunakan kadar parameter standard sahaja untuk hitungan menjadikan kadar pembiasan (R) yang digunakan di Malaysia adalah R = 34'. 


Pembiasan atmosfera menghasilkan situasi posisi matahari sebenar (menurut hitungan) berbeza dengan matahari yang dilihat (observed). Mengetahui kadar pembiasan (R), membolehkan posisi matahari yang dilihat dihitung detik terbenam di ufuk mar'i, bersamaan detik Maghrib yang sebenar, iaitu matahari hilang di ufuk. 

Berdasarkan penjelasan di atas, parameter posisi matahari bagi hitungan waktu Maghrib menjadi;

90° 16' + R + D

Parameter ini sama untuk waktu Syuruk.



Saturday, January 13, 2024

Rahmatilah Kami di bulan Rajab, dan Syaaban

 Seperti sedia maklum, tarikh 29 hb Jamadil Akhir adalah pada 11 Jan 2024, kerana 1 Jamadil Akhir adalah pada 14 Dis 2023 yang lalu. Namun, pada maghrib 11 Jan, hilal belum wujud di atas ufuk, menjadikan tarikh 12 Jan 2024 adalah 30 Jamadil Akhir, dan 13 Jan 2024 adalah bersamaan 1 Rajab 1445. 


Seterusnya kita lihat 29 Rajab pula, yang bersamaan 10 Feb 2024. 


Data menunjukkan hilal memenuhi syarat kenampakan di Malaysia, dan sesuailah tarikh 11 Feb 2024 adalah bersamaan 1 Syaaban 1445, sebagaimana dicatat dalam takwim rasmi. 

Semoga kita dirahmati setibanya Rajab, dan menjelangnya Syaaban.

Monday, January 1, 2024

Terima kasih untuk anda semua dan selamat tahun baharu

appfalak.com telah beroperasi sejak April 2021, setelah beroperasi sejak 2001 dengan nama Kalkulator Falak sebelum itu. Berdasarkan rekod bermula tahun 2022, appfalak.com telah mendapat perhatian pengguna daripada pelbagai negara, dan sudah pasti pengguna terbanyak adalah dari Malaysia dan Indonesia. Apabila pemetaan lokasi dibuat, saya temui juga penggunaan melibatkan lokasi tengah laut mungkin di dalam kapal atau seumpamanya. 

Ribuan terima kasih kepada anda semua yang menggunakan aplikasi di appfalak.com dan semoga ia dapat memenuhi keperluan anda serperti diharapkan. Anda masih boleh menyampaikan pendapat dan saranan anda menerusi butang PESANAN/MESSAGES di laman tersebut. 

Semoga tahun 2024 menjadikan kita lebih baik lagi.