Pages

Wednesday, October 28, 2009

Hilal

Sekali lagi terbaca komen tentang bulan sabit yang kelihatan pada petang hari ke 30 hijriyah itu adalah anak bulan atau tidak.. kali ini dengan istilah 'secara teknikalnya ia bukan hilal. Hilal sepatutnya berusia kurang satu hari (24 jam)'.

Baik. Ini merupakan kes rukyah awal Zulkaedah 1430 baru-baru ini. Pada petang hari rukyah, umur bulan ketika matahari terbenam adalah kira-kira 5 jam lebih (pukul rata bagi seluruh Malaysia). Namun tempoh 5 jam lebih tidak memisahkan bulan dengan matahari dengan ketara, justeru bulan terbenam hampir sama dengan waktu matahari terbenam (faktor jarak bulan bumi - hampir apogee). Menurut hisab, anak bulan disabitkan tidak wujud kerana tidak memenuhi ciri memungkinkan ia boleh kelihatan pada petang tersebut. Rukyah yang dilaksanakan turut mendapat keputusan yang sama.

Petang hari esoknya, ketika matahari terbenam, umur bulan adalah 24 jam + 5 jam lebih = lingkungan 30 jam.

Jika kita menerima secara 'teknikal' bahawa bulan sabit yang kelihatan petang hari 30 adalah bukan anak bulan, maka secara 'teknikal' anak bulan Zulkaedah 'tidak ada?' Atau secara 'teknikal' juga, bulan sabit yang tidak boleh kelihatan pada petang hari 29 itu, adalah anak bulan???

Hilal adalah 'tanda' yang muncul/wujud selepas Maghrib malam awal bulan baru, iaitu malam 1hb hijriyah. 'Tanda' inilah yang dikesan melalui kaedah rukyah yang telah diamalkan sejak dahulu lagi. Apabila tanda ini dikesan, maka bermulalah bulan baru. Jika tidak dapat dikesan, teruskan ke hari 30. Ketiadaan tanda ini pada hari ke 29, menunjukkan kewujudannya pada hari ke 30, namun ketiadaan hari ke 31, menjadikan hari ke 30 tidak penting untuk rukyah lagi. Hari ini, masih ada negara yang menggunakan kaedah ini (tanpa hisab) sehingga hari rukyah mereka jatuhnya pada hari raya di negara kita. Bagaimana? kegagalan mengesan kewujudan anak bulan pada bulan-bulan sebelumnya, telah mewujudkan anjakan satu hingga dua hari kepada bulan-bulan berikutnya.

Kaedah hisab yang bertambah baik, membolehkan jangkaan kenampakan dibuat dengan lebih jitu. Menjadikan rukyah lebih sistematik dengan data dan peralatan yang lebih berkesan. Rukyah yang dilaksanakan telah menjadi metod saintifik bagi memajukan justifikasi kenampakan anak bulan. Ini menjadikan rukyah pada hari 29 atau 30 amat penting.

Kamus Dewan, mendefinisikan anak bulan sebagai 'bulan sebagaimana yg kelihatan pd hari pertama sesuatu bulan Hijrah'. Adalah bulan (anak bulan/hilal) yang kelihatan selepas Maghrib, tidak kira ia petang 29 atau 30 hijriyah. Ia bukan bulan sabit petang 1hb, kerana ia adalah bulan sabit malam 2hb.

Justeru, apa sebenarnya maksud 'teknikal' tersebut?

2 comments:

choocolade said...

salam..
jika merujuk kepada data cerapan hilal sepanjang tahun di satu tempat,macam mana kita nak tahu tempat cerapan hilal tu bagus atau tidak..???
harap dapt bagi pendapat...
terima kasih..:)

Ahmad Taufan said...

kadar atau jumlah kenampakan tidak menggambarkan tahap kesesuaian lokasi, kerana faktor utama adalah halangan ufuk. Tambahan pula jika rukyah hanya dilakukan pada hari ke 29 sahaja. Kriteria yang sangat minimum menjadikan rukyah hari ke 29 hampir mustahil untuk hilal kelihatan.