KEPENTINGAN PENDIDIKAN ILMU FALAK[1]
Ahmad Taufan bin Abdul Rashid
UniSZA
1. Pendahuluan
Ilmu Falak menurut Kamus Dewan
(Edisi 4) bermaksud ‘kajian saintifik tentang bintang, matahari, bulan dan
planet yang terdapat dalam alam semesta. Menurut Kamus Pelajar (Edisi 2), Ilmu
Falak adalah ilmu tentang bintang-bintang. Ia bersinonim dengan ‘ilmu
bintang’,‘kaji bintang’ dan ‘Astronomi’. Kamus Dewan Edisi 4, Astronomi adalah
‘ilmu falak (pengetahuan tentang bintang-bintang yang melibatkan kajian tentang
kedudukan, pergerakan dan perkiraan serta tafsiran yang berkaitan dengan
bintang). Perkataan ‘Falak’ pula dinyatakan sebagai berasal daripada perkataan
Arab, bermaksud bulatan langit, lengkung langit, cakerawala. ‘Ilmu’ juga
dinyatakan sebagai berasal daripada perkataan Arab, bermaksud pengetahuan,
kepandaian, kepakaran, keahlian, kemahiran, kebijakan, kebijaksanaan,
kepintaran, pelajaran, pendidikan, seni, sains. Al-Quran menggunakan perkataan
‘falak’ yang ditafsirkan sebagai garis peredaran, atau sebutan kini ‘orbit’. (Tambahan: Bagaimanapun, Ilmu Falak dan Astronomi perlu didefinisi secara berbeza menurut perspektif budaya termasuk agama, apabila tidak semua aplikasi Astronomi itu boleh atau sesuai diaplikasikan dalam Ilmu Falak. Ini menjadikan istilah Ilmu Falak sebagai disiplin ilmu khusus orang Islam, manakala Astronomi lebih umum, merangkumi semua budaya/agama - penulis)
(Dengan
ketentuan yang demikian), matahari tidak mudah baginya mengejar bulan, dan
malam pula tidak dapat mendahului siang, kerana tiap-tiap satunya beredar
terapung-apung di tempat edarannya masing-masing (Ya-sin: 40)
Merujuk
kepada tidak hanya satu ayat yang menceritakan tentang mekanik alam semesta,
terutamanya bulan dan matahari, serta bumi, menunjukkan peri pentingnya sistem
alam semesta ini dikaji tabienya sebagai makhluk, yang akan menjurus kepada
mengenali ‘khaliq’, iaitu Allah swt.
Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda
kekuasaan Kami di merata-rata tempat (dalam alam yang terbentang luas ini) dan
pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa Al-Quran
adalah benar (Fussilat: 53)
2. Ilmu
Falak Sebagai Sains
Sains
adalah ‘ilmu yang mengkaji fakta yang dicerap dan disusun secara bersistem dan
dihimpun dalam bentuk hukum umum’ (Baharudin, 1989). Umumnya sains terbahagi
kepada tiga; sains tulin (tabie), sains gunaan dan sains sosial. Sains tulin
adalah ilmu pengetahuan berkaitan dengan alam semesta dan berkait rapat dengan
sains gunaan, iaitu ilmu yang membolehkan manusia mengeksploitasi kewujudan
alam ini untuk
kepentingan manusia sendiri (teknologi). Ilmu Falak, salah satu daripada cabang
sains, adalah ilmu yang berkaitan dengan cakerawala seperti bulan, matahari,
planet, bintang, galaksi dan sebagainya. Bermula dengan era di mana objek
langit dikaitkan dengan ketuhanan dan penyembahan, yang berhubung dengan
kehidupan dan untung nasib[2], bidang
Ilmu Falak telah berkembang pesat apabila manusia menerusi akal dan wahyu mula
mengenalpasti sistem pergerakan alam ini untuk digunakan dalam kehidupan
mereka. Menurut Baharrudin (2007), saintis Islam telah menjadikan zaman mereka
sebagai peralihan daripada ‘sains yang berbaur dengan tahyul dan mitos’ kepada
sains yang bersifat ‘empirikal, eksperimental dan praktikal’. Menurut beliau
lagi, Sains Islam menjadi ‘satu sistem yang holistik di mana satu agama dengan
pelbagai kebudayaan dan tamadun bercampur’.
Skop dan definisi Ilmu
Falak atau Astronomi yang telah berubah daripada “sains berkaitan
objek di angkasa” (Hartmann, 1987) kepada
skop yang lebih luas meliputi bidang-bidang sains fizik, biologi,
pelayaran, pemetaan, kajicuaca dan sebagainya telah menghasilkan teknologi yang
mampu mengubah cara kehidupan manusia hari ini. Pengetahuan tentang sistem
orbit misalnya telah menghasilkan teknologi satelit yang telah mengubah sistem
perhubungan masakini.
Perkembangan
Ilmu Falak kepada bidang sains yang lebih mencapah atau khusus (sub-bidang)
juga telah menenggelamkan Ilmu Falak itu sendiri sehingga ramai yang tidak
menyedari banyak aplikasi atau teknologi yang digunakan hari ini adalah faedah
daripada kajian Ilmu Falak.
3. Ilmu Falak Di Malaysia
Menurut Baharrudin (2007), walaupun
sejarah dunia Islam menunjukan dominasi penggunaan Astrolab (Asturlab) termasuk
Eropah, tetapi di Alam Melayu, Sukuan Sinus atau lebih dikenali sebagai ‘Rubu’ Mujayyab’ lebih digunakan sebagai
peralatan Matematik (Ilmu Hisab) dan Ilmu Falak, sebelum penggunaan jadual
trigonometri dan logaritma. Menurut King (1986) dalam Baharrudin (2007),
Al-Battani pada kurun ke 9 Masehi telah
melakukan inovasi hebat peralatan sukuan yang diwarisi daripada zaman
Hellenistik dengan ciri-ciri baharu. Menurut Baharrudin (2007) lagi, nama-nama
masyhur seperti Syeikh Nuruddin Ar-Raniri (Bustan
al-Salatin - 17 M) Syeikh Muhammad Arsyad Al-Banjari (Sabilil Muhtadin – 1195 H)
hinggalah Syeikh Ahmad bin Abdul Latiff al-Minangkabaui (al-Jauharun Naqiyah fil A’amali Jaibiyyah
– 1309 H) merupakan antara guru dan karya yang sarat dengan hitungan dan
maklumat Ilmu Falak. Boleh dikatakan sebahagian besar ulama terdahulu merupakan
mereka yang arif dalam Ilmu Falak, dengan tidak kurang juga yang menghasilkan
manuskrip falak yang sesetengahnya pernah menjadi simpanan anak cucu tanpa
diketahui kandungan sebenarnya. Buku Falak ‘Qawa’idul
Miqat’ I, II dan III hasilan Almarhum Haji Abdul Rahman bin Saleh, pernah
menjadi buku teks pelajar sekolah-sekolah agama di bawah Majlis Agama Islam
Kelantan suatu ketika dahulu.
Kini sub-bidang Ilmu Falak boleh
dilihat pada subjek Sekolah Rendah atau Menengah, di bawah tema ‘Bumi dan Alam
Semesta’ dan ‘Astronomi dan Penerokaan Angkasa Lepas’. Ia tidak menjadi subjek
tersendiri, tetapi terkandung dalam mata pelajaran Sains (Roslizah, 2007). Di peringkat lebih tinggi, ia menjadi
sub-bidang kepada bidang Fizik, Sains atau Geodesi, di bawah topik Astrofizik, Space Science dan sebagainya. Pada sudut
pekerjaan pula, kerajaan menubuhkan Agensi Angkasa Negara, Pusat Sains Negara
yang turut terlibat memartabatkan Ilmu Falak. Agensi lain seperti Jabatan Mufti
Negeri turut melahirkan Ahli Falak Syarie
melalui penubuhan Unit Falak dan latihan-latihan yang dianjurkan mereka. Satu
pihak lagi yang tidak kurang penting adalah Ahli Falak Amatur yang menjadi Ilmu
Falak sebagai aktiviti bersifat ‘hobi’ yang serius. Ahli Falak Amatur juga
merupakan antara pihak yang turut menjayakan usaha menjadikan Ilmu Falak
sebagai sains popular.
4. Kepentingan Pendidikan Ilmu Falak
Menyentuh
aspek pendidikan, tidak dapat tidak Falsafah Pendidikan Negara (FPN) perlu
menjadi dasar yang perlu dipegang, yang bermatlamat melahirkan insan yang
berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab serta
percaya dan patuh kepada Tuhan. Menurut Roslizah (2007), kurikulum sekolah
rendah mengandungi tajuk ‘Mensyukuri keindahan malam yang diterangi sinaran
bulan’ dan ‘Mengagumi alam ciptaan Tuhan’ manakala sekolah menengah (tingkatan
3) menyarankan pelajar memikirkan tentang ‘What
to say on the uniqeuness, orderliness, beauty and harmony in the universe?’.
Ia selaras dengan kehendak FPN ke arah melahirkan insan yang percaya dan patuh
kepada Tuhan serta seimbang dan harmonis dari segi jasmani, emosi, rohani dan
intelek. Melihat kepada saranan di atas, jelas menunjukkan pelajar perlu
didedahkan dengan aktiviti memerhati langit malam, pergerakan objek langit,
rupa bentuk dan sebagainya berdasarkan pemerhatian mata kasar atau dengan alat
bantuan visual, seperti teleskop, yang tidak semua sekolah memilikinya, atau
memilikinya, tetapi tiada kepakaran mengendalikannya. Inilah yang dibangkitkan
oleh Roslizah (2007) berkaitan kompetensi guru dalam bidang berkaitan bila mana
terdapat guru opsyen bahasa mengajar subjek sains yang hanya mengikuti kursus
kurikulum Sains hanya beberapa hari, sehingga timbul masalah salah konsep,
kurang faham dan sebagainya. Malah Parker & Heywood (1998), Harlen (1995)
dan Summers & Mant (1995) dalam Roslizah (2007) menyatakan terdapat juga
guru sains sendiri gagal memahami konsep dan fenomena alam yang sangat sukar
ditafsir dan difahami.
Menelusuri
sejarah, dan kurikulum pendidikan hari ini, sama ada di sekolah mahu pun di
universiti, subjek ilmu falak masih menjadi sub-bidang dalam kurikulum
tersebut, atas keperluan dan hubungan sub-bidang tersebut dengan bidang utama
yang menjadi kurikulum pengajian berkenaan. Contohnya bidang ukur tanah
(Geodesi) yang mengaplikasikan ‘Positional
Astronomy’ sebagai salah satu keperluan utama. Demikian ‘Ilmu Falak Syarie’
yang juga mengaplikasikan ‘Positional
Astronomy’ sebagai bidang utama pengajian tersebut.
Sub-bidang
Ilmu Falak sebenarnya bergantung kepada Ilmu Falak itu sendiri. Sub-bidang
hanya pelengkap kepada keperluan suatu bidang lain. Tetapi sub-bidang itu
sendiri perlu berubah seperti mana berubahnya Ilmu Falak. Contoh, rumus
hitungan falak tahun 1970an tidak sesuai lagi digunakan untuk tahun 2000 dan
seterusnya. Ia memerlukan pembetulan baharu yang dikenakan kepada rumus
terdahulu, bagi memastikan hitungan tersebut kekal pada kejituan tinggi.
Perubahan ini hanya dilakukan oleh mereka yang terlibat sepenuhnya sebagai Ahli
Falak. Sekiranya sub-bidang falak tadi tidak ada hubungan dengan Ilmu Falak itu
sendiri sebagai sumber ilmu, juruukur tanah contohnya, akan terus menggunakan
rumus yang belum dimurnikan dalam kerja-kerja mereka! Bayangkan jika ianya
melibatkan satelit dan pelancaran roket, apa yang mungkin terjadi? Sistem Suria
sendiri telah banyak berubah definisi dan justifikasinya, dan amat malang jika
buku teks sekolah masih tidak diubah, tentunya pengalaman terbaharu dengan
kandungan buku tidak selari.
Pengajian
Ilmu Falak sekalipun tidak sepenuhnya, tetap perlu menjadi subjek di setiap
peringkat, kerana kajian tentang alam semesta adalah kajian tentang objek yang
dekat dengan manusia dalam kehidupan harian. Matahari dan bulan terbit terbenam
adalah dalam pandangan harian manusia, antara cakna dengan tidak sahaja.
Ironinya, ibu bapa yang riuh menyaksikan suatu fenomena ‘ganjil’ pada mereka,
tidak mendengar jawapan anaknya tentang fenomena tersebut, tetapi sibuk
menghubungi pihak tertentu atau rakan mereka untuk bertanya tentangnya. Bila
mendapat penjelasan, ‘oh.. betullah apa
anak saya cakap…’.
Kebimbangan
juga mungkin boleh diutarakan jika ia kekal sebagai sub-bidang, kajian khusus
terhadap ruang lingkup kajian Ilmu Falak; kajian terhadap alam semesta mungkin
tidak dilakukan (atau terlalu kurang), boleh menyebabkan Malaysia akan
ketinggalan dari aspek maklumat falak berbanding negara lain yang telah pergi
lebih jauh. Bukan penjelajahan yang dimaksudkan, tetapi perubahan nyata pada
objek di alam semesta ini yang mungkin memberi impak kepada kehidupan di Bumi
amnya, dan Malaysia khususnya. Sama seperti subjek alam sekitar yang mendorong
pelajar memerhati dan mengkaji flora dan fauna, hubungan dengan manusia dan
seterusnya menerapkan pemikiran untuk bersama menjaga dan mengurus alam sekitar
dengan baik untuk kesinambungan kehidupan akan datang.
8. Penutup
Membincangkan
tentang kepentingan pendidikan Ilmu Falak terutama di sekolah dan universiti,
pada ketika subjek ini masih bersifat sub-bidang, tentunya memerlukan ruang
kajian yang lebih meluas. Kertas ini hanyalah menyentuh beberapa aspek
berkaitan Ilmu Falak dan kepentingannya secara langsung atau tidak langsung.
Untuk mengharapkan ia menjadi momentum kepada kajian seterusnya mungkin terlalu
besar, setidaknya mendorong anda untuk sama berfikir dan mencari langkah wajar
untuk memantapkan Ilmu Falak walau di bidang mana anda sekarang. Kerana anda
tidak semestinya menjadi angkasawan untuk menyumbang kepada aktiviti angkasa
negara, tetapi menjadi pengarah atau pegawai, atau juruteknik di agensi
berkenaan sebenarnya juga memberikan sumbangan besar.
WalLahu
A’alam.
Rujukan
Baharudin
Yatim, Dr. (1989). Takrif Dan Konsep-Konsep Asas Sains Moden. Sains
Menurut Perspektif Islam. Kuala Lumpur: UKM
Baharrudin
Zainal (2007). Beberapa Mauduk Kajian
Sejarah Sains Falak. Prosiding Seminar Falak UDM 2007 Peringkat Kebangsaan
Baharrudin Zainal (2002). Astronomi Sebagai Sains
Popular. Kertas Kerja Ceramah Minggu Sains & Teknologi Peringkat Negeri
Terengganu
Hartmann,
William K. (1987). Astronomy, The Cosmic Journey. Belmont, California:
Wadsworth Publishing Co.
Roslizah
A.Samad (2007). Memantapkan Pendidikan
Astronomi Peringkat Sekolah. Prosiding Seminar Falak UDM 2007 Peringkat
Kebangsaan
[1] Kertas
ini diolah semula daripada kertas pembentangan dalam Seminar Fatwa Dan Falak Negeri Terengganu 2012 anjuran
Jabatan Mufti Negeri Terengganu pada 15 Mac 2012 bersamaan 22 Rabiul Akhir
1433H di Dewan Balora (Balai Orang Ramai), KETENGAH, Bandar Al-Muktafi Billah
Shah, Dungun, Terengganu.
[2] Dikenali
sebagai Astrologi, atau ilmu nujum perbintangan. Horoskop merupakan salah satu
warisan ilmu ini.
No comments:
Post a Comment