PENETAPAN AWAL BULAN HIJRIYAH DI MALAYSIA[1]
Ahmad Taufan bin Abdul Rashid
UniSZA
Pendahuluan
Sistem penyusunan takwim di
Malaysia mengalami beberapa pengubahsuaian seiring dengan perkembangan ilmu dan
perubahan pentadbiran. Berdasarkan maklumat perbahasan Parlimen Malaysia
contohnya, di bawah tajuk Penentuan Puasa dan Hari Raya, cukup untuk
menunjukkan bahawa kaedah penetapan tarikh puasa dan hari raya pada suatu ketika
turut merujuk kaedah hisab di samping amalan rukyah, dan pada satu ketika lain
menggunakan keputusan rukyah sahaja. Manakala bagi penentuan awal Zulhijjah, terdapat
dua ‘cerita’, iaitu menggunakan hasil rukyah atau menurut Arab Saudi. Penulisan
ini bagaimanapun tidak akan menelusuri sejarah, bahkan menumpu kepada kaedah
yang digunapakai di Malaysia masa kini dan isu-isu berkaitan. Bagi mengungkap
kaedah dan isu yang berkaitan sistem takwim ini, penulis berpendapat adalah
perlu untuk memulakan perbincangan daripada aspek dasar atau asas pembentukan
sistem takwim itu sendiri, iaitu Sistem Suria yang kita diami ini.
Sistem Suria
Sistem Suria atau Cakera Suria
menurut Kamus Dewan adalah sistem yg terdiri
drpd matahari, planet-planet (Marikh, Zuhrah, Bumi, Utarid, Musytari, Zuhal,
Uranus, Neptun, Pluto), komet dll dan planet tsb beredar mengelilingi matahari
mengikut orbit masing-masing. Cakera Suria merupakan salah satu sistem kecil
berbanding jutaan sistem yang terdapat di alam semesta ini.
Menurut Mat Rofa (2012), saintis
Muslim seperti al-Kindi, al-Farabi, Ibn Sina dan Ibn al-Rusyd menggunakan
kaedah mantik (induksi) dalam menganalisis fenomena alam. Manakala Jabir ibn
Hayyan, al-Biruni. Ibn al-Haitham, al-Zarqali menggunakan kaedah al-qias wa al-tajribah (deduksi dan
emperikal) yang dikenali sebagai kaedah hipotesis deduksi. Induksi adalah
proses penghuraian yang membawa kepada pencapaian sesuatu kesimpulan hukum
daripada fakta atau maklumat yang bersifat khusus. Contohnya cerapan berterusan
atau pengumpulan hasil cerapan turun temurun dari pusat-pusat cerapan
membolehkan saintis membuat kesimpulan/hukum umum terhadap suatu fenomena.
Deduksi pula adalah (i) membuat kesimpulan (penemuan dan lain-lain) daripada
keadaan yang umum kepada yang khusus atau (ii) merumuskan fakta (kaedah)
berdasarkan maklumat yg ada (atau hipotesis).
Sistem Cakera Suria yang
difahami hari ini adalah bersumberkan wahyu al-Quran dan hasil kajian saintis. Keupayaan
menerobos alam semesta secara lahiriah yang terhad membuka ruang kepada
pelbagai teori mengenai fenomena alam semesta. Keupayaan ilmuan Islam
menggunakan ilmu Mantik dan Matematik misalnya, membolehkan beberapa teori yang
meragukan ditolak atau dimurnikan. Masalahnya, sumber pemahaman rakyat Malaysia
amnya adalah melalui buku-buku Sains hasil tulisan dan kajian saintis Barat
yang terdorong dengan ‘the law of nature’
bukannya ‘the law of Allah – Sunnatullah’
oleh saintis Muslim. Hasil kajian saintis Muslim terbenam dalam buku-buku
klasik Islam, atau di perpustakaan tanpa disentuh, malah setengahnya masih berstatus
‘belum dikatalog’. Inilah antara punca kenyataan ‘Matahari mengelilingi Bumi’
atau ‘Bumi mengelilingi Matahari’ seolah-olah belum berkesudahan, sedangkan
saintis Muslim yang dinyatakan sebahagiannya di atas telah lama membincangkan isu ini.
Sistem Cakera Suria merupakan
salah satu sistem dalam galaksi yang dinamakan Galaksi Bima Sakti. Galaksi ini
merupakan salah satu dari ribuan/jutaan galaksi di alam semesta ini. Sistem
Suria terdiri daripada sejumlah planet yang mengorbitnya, dan hampir setiap
planet mempunyai satelitnya yang asli (bulan). Bumi hanya mempunyai satu bulan,
manakala Musytari contohnya mempunyai sehingga lebih 60 biji bulan. Bumi
mengorbit Matahari menurut pusingan lawan jam, pada masa yang sama Bulan turut
mengorbit Bumi.
Rajah 1: Orbit Bumi, Bulan dan Fasa Bulan |
Rajah 2: Kesan orbit Bulan dan putaran Bumi |
Lihat rajah 2 di atas.
Kedudukan 1 hingga 4 merujuk kedudukan Matahari dan Bulan ketika tengahari di
satu lokasi dalam satu putaran Bumi harian. Perubahan tersebut adalah kesan
putaran Bumi dan hasil pergerakan lawan jam orbit Bulan mengelilingi Bumi.
Mengambil contoh rajah 2 di atas, Bulan dan Matahari akan terbenam bersama-sama
di Amerika, bersamaan terbit bersama-sama bagi Malaysia (posisi 2 - ijtimak).
Ketika tengahari di Malaysia (3), Bulan telah teranjak sedikit ke arah Timur.
Ketika Matahari terbenam (4) di Malaysia, Bulan ada di atas ufuk sebagai ‘Anak
Bulan’. Perubahan inilah menjadi asas kepada pembentukan sistem takwim.
Sistem Takwim
Bagi pembentukan sistem
takwim, manusia menggunakan sistem yang mudah dan dapat dilihat hari-hari dan
bermulalah sistem takwim yang berasaskan pergerakan Matahari harian (Takwim
Syamsi), pergerakan dan fasa Bulan (Takwim Qamari), dan sistem takwim yang
berasaskan kedudukan Matahari pada buruj-buruj tertentu yang dinamakan Zodiak
(Takwim Buruj). Secara umum, Takwim Syamsi digunakan di Eropah, manakala Takwim
Qamari di Asia. Sejenis lagi takwim adalah Takwim Cina dan Hindu yang
menggunakan sistem campuran Syamsi dan Qamari (Takwim Luni-Solar). Bagaimanapun
Takwim Qamari-Syamsi ditolak penggunaannya menerusi Firman Allah swt dalam
Surah At-Taubah ayat 36-37 yang bermaksud:
Sesungguhnya bilangan bulan-bulan di sisi (hukum) Allah ialah dua belas bulan, (yang telah
ditetapkan) dalam Kitab Allah semasa Ia menciptakan langit dan bumi, di
antaranya empat bulan yang dihormati. Ketetapan yang demikian itu ialah ugama
yang betul lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan-bulan
yang dihormati itu (dengan melanggar laranganNya); dan perangilah kaum kafir
musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah
sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa [36] Sesungguhnya
perbuatan mengundurkan (kehormatan
itu dari satu bulan ke satu bulan yang lain) adalah menambah kekufuran yang
menjadikan orang-orang kafir itu tersesat kerananya. Mereka menghalalkannya
pada satu tahun dan mengharamkannya pada tahun yang lain, supaya mereka dapat
menyesuaikan bilangan (bulan-bulan yang empat) yang telah diharamkan Allah
(berperang di dalamnya); dengan itu mereka menghalalkan apa yang telah
diharamkan oleh Allah. Perbuatan buruk mereka itu dihias dan dijadikan indah
(oleh Syaitan) untuk dipandang baik oleh mereka. Dan (ingatlah) Allah tidak
memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang kafir [37]
Kedatangan Islam meneruskan
penggunakan Takwim Qamari yang dikemaskini dengan aturan dan ketetapan yang
sama, dengan kekangan seperti dinyatakan dalam ayat di atas. Bukti menunjukkan
saintis Muslim berusaha menambahbaik cara penyusunan takwim bukan sekadar
penetapan satu bulan ke satu bulan berdasarkan rukyah, bahkan berusaha menyusun
takwim untuk tahun akan datang berdasarkan hasil kajian secara empirik yang
dilakukan mereka. Disinilah kaedah hipotesis deduksi juga kaedah induksi
digunakan oleh saintis Muslim seperti yang dinyatakan oleh Mat Rofa (2012) di
atas.
Sistem Takwim di Malaysia
Sebelum 1992, sistem takwim Hijrah
di Malaysia agak bercelaru. Menurut Baharrudin (2003a), penetapan awal bulan
Hijriyah dari Muharram hingga Syaaban adalah menggunakan Takwim Istilahi/Ijtimak Hakiki.
Menjelang Ramadan dan Syawal, menggunakan rukyah/hisab hakiki. Zulkaedah
kembali kaedah Istilahi/Ijtimak Hakiki sehingga menjelang Zulhijjah, kembali kepada rukyah/hisab
hakiki atau ‘menurut Arab Saudi’. Bermula 1992, kerajaan memutuskan penggunaan
satu kaedah sahaja untuk semua bulan Hijriyah.
Menurut BAHEIS (1991) dalam Baharrudin (2003b), kaedah tersebut yang
masih dipakai hingga kini menetapkan seperti berikut:
Anak bulan dianggap ada dan boleh kelihatan
apabila pengiraan falak memenuhi salah satu daripada syarat-syarat berikut:
(i)
Ketika
matahari terbenam, ketinggian anak bulan tidak kurang dari 2°, dan jarak
lengkung bulan ke matahari tidak kurang 3°
ATAU;
(ii)
Ketika
bulan terbenam, umur bulan tidak kurang dari 8 jam selepas berlaku ijtimak.
Menggunakan syarat-syarat
inilah (yang dikenali sebagai syarat imkanurrukyah)
takwim tahunan Malaysia disusun sepenuhnya untuk 12 bulan. (Penulis- persoalan kriteria minimum yang digunakan telah sedikit sebanyak dibincangkan dalam post terdahulu)
Isu Penetapan Awal Ramadan, Syawal dan Zulhijjah
Berkaitan penetapan awal bulan
ini, penulis membahagikan kepada beberapa aspek berdasarkan isu yang selalu
dibangkitkan secara umum, iaitu;
i.
Penggunaan kaedah rukyah dan hisab
ii.
Kenampakan anak bulan
iii.
Penetapan awal bulan oleh negara jiran atau Arab
Saudi
i. Penggunaan Kaedah Rukyah Dan Hisab
Seperti yang telah diungkapkan
di atas, saintis Muslim terdahulu telah menggunakan kaedah al-qias wa al-tajribah (hipotesis deduksi) dan juga induksi dalam
menetapkan awal bulan dan menyusun takwim tahunan. Berdasarkan data cerapan turun temurun
(empirik) dari pusat-pusat cerapan, saintis mengemukakan kesimpulan hukum
(Sunnatullah) berkaitan pergerakan Bulan, Bumi dan Matahari, serta aspek
kenampakan anak bulan. Kesimpulan ini diterjemahkan ke dalam bentuk rumus
matematik (hisab) yang membolehkan hitungan pra-cerapan dilakukan untuk
menjangkakan fenomena akan datang. Disebabkan kesimpulan ini bersifat umum, dan
terdedah kepada perubahan (tidak mutlak), cerapan mesti diteruskan supaya
sebarang perubahan seterusnya dapat dikesan dan dianalisis untuk menghasilkan
rumusan baru, jika perlu. Justeru polemik berkaitan penggunaan hisab atau
rukyah sebenarnya tidak berdiri di atas landasan yang betul, apa lagi
menganggap falak itu adalah hisab, rukyah bukan falak, adalah memisahkan
cerapan empirik dengan analisis dan rumusan. Sedangkan cerapan (rukyah) dan
rumusan (hisab) adalah metodologi saintifik dalam kajian Ilmu Falak. Secara jelas, Malaysia menggunakan kaedah ini
(yang disebut Rukyah dan Hisab) dalam menyusun takwim tahunan kebangsaan apabila
menggunakan kaedah pengiraan hisab, pada masa yang sama meneruskan rukyah
sebelum memuktamadkan ketetapan melalui perisytiharan pada malam tersebut bagi tarikh-tarikh perayaan. Pada tarikh lain, rukyah dilakukan di beberapa lokasi terpilih dan tiada hebahan umum.
ii. Kenampakan Anak Bulan
Aspek kedua adalah berkaitan
kenampakan anak bulan. Sebagai contoh, lihat rajah 2 (ms. 2). Menurut pengiraan
falak, Bulan dan Matahari terbenam bersama-sama ketika Maghrib di Amerika.
Kemudian ada dakwaan mengatakan sebahagian yang merukyah di Amerika nampak anak
bulan. Menurut kaedah mantik induksi dan al-qias
wa al-tajribah, Bulan dan Matahari perlu berada pada kedudukan no. 4 untuk
membolehkan kenampakan anak bulan berlaku. Justeru menurut justifikasi
saintifik, anak bulan tidak boleh kelihatan di Amerika, dan dakwaan tersebut disifatkan
sebagai palsu. Namun terdapat kes yang hampir sama[2],
diterima kenampakan atas dasar cukup saksi (2 orang) dan bahawa ‘anak bulan
pada hari rukyah itu adalah bersifat harus nampak’. Sekalipun bertentangan
dengan pengiraan hisab, pendapat bahawa 'hisab tidak boleh melampaui rukyah'
telah digunakan.
iii. Penetapan Awal Bulan Oleh Negara Jiran Atau Arab Saudi
Penetapan awal bulan oleh
negara jiran atau Arab Saudi adalah berdasarkan laporan kenampakan anak bulan,
sekalipun diragui kesahihannya menurut metodologi saintifik. Justeru penetapan
tersebut adalah berdasarkan kaedah yang dinyatakan dalam aspek (ii) di atas. Situasi ini antara faktor pendorong Malaysia menggunakan 'kenampakan tempatan' (local sighting).
Penetapan Awal Bulan Menurut Perspektif Kontemporari
Berdasarkan perenggan
perbincangan di atas, boleh dikatakan bahawa isu sebenar dalam penetapan awal
bulan hijriyah bukan pada kaedah atau hukum berkaitan, tetapi pada aspek
‘memastikan apakah anak bulan yang didakwa kelihatan itu benar anak bulan atau
tidak’.
Al-Qardhawi (2012) merumuskan seperti berikut;
Dalam hal
ini ada tiga hakikat:
(1) Bahawa penggunaan hisab atau rukyah ada rujukan ulama terdahulu yang jelas, dan setiapnya ada dalil yang sah. Maka tidak boleh bertelagah antara satu sama lain atas masalah ijtihad.
(2) Khilaf yang berlaku dalam hal ini adalah 'dalam keampunan Allah', dan tidak mengganggu akan sahnya puasa atau haji.
(3) Usaha penyatuan ummah kepada satu asas sistem takwim global adalah mesti diteruskan. Jika tidak boleh, sekurang-kurangnya penyatuan dalam skala lebih kecil terutama satu negara. Tidak harus dalam satu negara satu puak berpuasa, dan satu puak menyempurnakan 30 syaaban. Satu puak berhariraya, dan satu puak berpuasa 30 ramadan. Bila pihak berkuasa menetapkan tarikh, perlu patuh kerana ia perkara makruf, walau berbeza dengan negara jiran.
Kesimpulan
Terdapat pandangan atau hukum berkaitan Ilmu Falak oleh ulama
silam, berbeza dengan pandangan dan hukum berkaitan oleh ulama masa kini
(Al-Qardhawi, 2012). Ia bukan perubahan hukum, tetapi perubahan empirik Ilmu
Falak yang memerlukan analisis hukum hakam berkaitan secara berbeza. Justeru,
menggunakan pandangan ulama silam terhadap Ilmu Falak zaman kini adalah tidak
sesuai. Ia adalah benar pada masa itu, bukan masa kini.
Sesuatu yang dinamik dan empirik, memerlukan pemerhatian dan kajian yang juga dinamik dan empirik, dan hukum hakam berkaitan juga akan menurut sifat dinamik dan empirik ini. Jika tidak, kita mungkin mengulangi khilaf sama yang dilakukan sebahagian ulama Arab Saudi tahun 1920an, apabila mengharamkan penggunaan telegraf dan telefon kerana sistem tersebut dirumuskan sebagai menggunakan sihir dan jin (Dr. Hamza, 2000).
Rujukan
Baharrudin Zainal (2003a). Ilmu Falak: Teori, Praktik Dan Hitungan. Kuala Terengganu. KUSZA
Baharrudin Zainal (2003b). Kriteria Kenampakan Anak Bulan di Malaysia. Kuala Terengganu: KUSZA
Baharrudin Zainal (2004). Ilmu Falak Edisi Kedua. Kuala Lumpur: DBP
Dr. Hamza A. Bait-Almal (2000). Transfer and Development of Modern
communication Technology into Saudi Arabia: A Conservative Model.
Part of ICA
Theme Panel/Mass Communication Media in Saudi Arabia The Historical Development
and The Power of Conservatism in
Acapulco,
Mexico on June, 2000
Mat Rofa Ismail (2012). Mantik Dalam Tradisi Pemikiran Ilmuwan Alam Melayu. Wacana
Kontemporari Islam Siri 3/2012, Universiti Sultan Zainal Abidin pada 23 Oktober
2012
Yusuf Al-Qardhawi (2012). Al-Hisab al-Falaki wa-Ithbati Awa’ili al-Syuhur. http://www.qaradawi.net
[1]
Penulisan ini disusun kembali dari kertas pembentangan dalam Seminar Pendidikan Fatwa
& Falak Negeri Terengganu 2012 anjuran Jabatan Mufti Negeri Terengganu pada
1 November 2012 di Setiu, Terengganu
[2] Laporan
begini boleh diperolehi di laman web www.moonsighting.com yang memuatkan
laporan kenampakan anak bulan hampir dari seluruh dunia.
No comments:
Post a Comment