LANGIT
Ahmad Taufan bin Abdul Rashid
UniSZA
Pendahuluan
Langit – istilah yang penulis pasti bahawa sesiapa yang waras tidak akan menjawab tidak tahu. Namun setelah meneliti beberapa perspektif mengenai langit dan kewujudannya, penulis dapati ‘langit’ menurut perspektif kita, mungkin adalah ‘langit’ yang berbeza menurut perspektif lain. Justeru, penulisan ringkas ini akan membincangkan perspektif mengenai ‘langit’ dan kewujudannya.
Definisi Langit
Langit menurut Kamus Dewan bermaksud cakerawala atau jumantara. Cakerawala pula adalah objek-objek di langit termasuk bulan dan matahari. Justeru maksud langit menurut kamus adalah objek-objek di langit. Menurut kamus dwibahasa pula, langit membawa maksud ‘sky’ atau ‘heaven’. Melihat maksud ‘sky’ dan ‘heaven’ pula, kita temui sky – udarakasa, atmosfera bumi, manakala heaven – angkasa dan syurga.
Berdasarkan definisi di atas, terdapat sedikit perbezaan maksud langit menurut definisi kamus bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris apabila udarakasa atau udara, dan angkasa adalah bukan langit menurut perspektif bahasa Melayu. Menurut perspektif bahasa Melayu ini, bulan dan matahari adalah langit, atau berada di langit (dalam langit).
Langit Menurut Al-Quran
Menelusuri ayat-ayat Al-Quran yang menyebut mengenai langit, kita akan temui banyak ayat dan surah berkaitan penciptaan langit dan bumi, kekuasaan Allah meliputi langit dan bumi juga ayat mengenai Allah menurunkan hujan dari langit, burung terbang, dan tujuh langit atau tujuh lapis langit.
Meneliti tafsir surah Ar-Ra’du dari ayat 1 hingga ayat 17, dan tafsir berkaitan penggunaan kalimah langit (as-sama’) dengan lafaz mufrad (singular) dan kalimah langit (as-samawat) dengan lafaz jama’ (plural), menunjukkan perbezaan maksud apabila dilihat keseluruhan ayat-ayat berkaitan langit dalam surah-surah yang lain. Lafaz mufrad dilihat banyak merujuk kepada udarakasa dengan fenomena udara, hujan dan burung terbang, manakala lafaz jama’ banyak merujuk kepada langit yang terdapat makhluk seperti di bumi. Meneliti ayat ini, apakah sebenarnya langit (as-samawat) yang dimaksudkan dalam ayat Al-Quran? Al-Quran juga menyebut mengenai tujuh langit, atau langit dijadikan tujuh lapis.
Langit Tujuh Lapis
Secara jelas, definisi bahasa di atas juga tidak menyebut mengenai bilangan, kerana jika menurut istilah bahasa Melayu, menjadikan langit itu amat banyak, manakala menurut istilah Inggeris, langit hanya satu dan tiada jasad khusus atau lapisan. Atmosfera mungkin satu pilihan, namun ia tidak menjelaskan maksud ayat antaranya ayat surah Maryam:93, Al-Anbiya’:30, Al-Haj:18, An-Nur:35, Fussilat:12, Al-Fath:4, At-Talaq:12, Al-Mulk:5 dan surah Nuh:15.
Merujuk tafsir dalam bahasa Inggeris, kita temui tafsiran lafaz as-sama’ banyak merujuk maksud ‘sky’, manakala as-samawat merujuk ‘heavens’.
Meneliti tafsiran ini, kita dapati langit (heavens) dibina khusus tujuh lapis menurut Al-Quran. Manakala menurut penemuan sains kini, lapisan hanya wujud pada atmosfera, manakala langit masih sebagai objek tanpa jasad (heaven), yang lebih merujuk ruang angkasa.
Langit Dunia
Al-Quran menyebut secara nyata istilah ‘langit dunia’ dalam banyak ayat dan surah. Meneliti tafsiran berkaitan, kita dapati langit dunia merujuk langit paling hampir dengan bumi, yang di dalamnya ada bulan, matahari, bintang dan objek angkasa yang lain. Merujuk penemuan sains kini, ternyata sempadan langit dunia itu sendiri tidak diketahui di mana, atau dengan istilah lebih mudah, belum ditemui.
Langit Dalam Peristiwa Isra’ Dan Mi’raj
Peristiwa Isra’ dan Mi’raj Baginda Nabi s.a.w. menunjukkan bahawa langit ada tujuh, dengan setiap langit ada penduduknya, dan setiapnya dikawal malaikat penjaga. Justeru langit yang disebut dalam peristiwa ini sudah tentu bukan lapis atmosfera, bukan juga planet-planet yang diketahui tiada makhluk setakat ini, kerana planet-planet yang ditemui itu boleh dikatakan masih berada dalam lingkung langit dunia, atau langit pertama.
Kesimpulan
Sesungguhnya benarlah seperti kata seorang penulis, memahami Al-Quran dalam bahasanya sendiri (Arab) adalah lebih baik berbanding memahaminya menggunakan bahasa lain. Apabila as-sama’ dan as-samawat diterjemahkan sebagai langit (kerana istilah udarakasa dan angkasa masih baru), keadaannya sama seperti menterjemahkan kaukaba dan masabih sebagai bintang (planet adalah istilah baru), sedangkan ayat 35 surah An-Nur menunjukkan beza keduanya. Keadaan ini mungkin menyebabkan kekeliruan pemahaman terhadap maksud langit yang dinyatakan dalam Al-Quran, seterusnya menyangkakan penemuan sains bercanggah dengan maksud Al-Quran, atau sebaliknya.
Belajar berilmu.
Wal-Lahu-A’alam.
- Posted using BlogPress from my iPad
2 comments:
Assalamualaikum, saya Siti Fatimah pelajar perubatan USIM nak minta izin gunakan blog ini sbg idea dalam assignment penulisan artikel saya. Saya harap dapat keizinan sepenuhnya. Terima kasih.
Wsalam. Tiada halangan dengan rujukan metod akademik. Terima kasih, selamat maju jaya.
Post a Comment