Monday, December 3, 2012

KAEDAH UMUM PENENTUAN WAKTU SOLAT

KAEDAH UMUM PENENTUAN WAKTU SOLAT
Ahmad Taufan bin Abdul Rashid
UniSZA


Pengenalan
Waktu solat ditentukan berdasarkan dua kaedah, iaitu kaedah cerapan dan kaedah hitungan. Kaedah cerapan adalah memerhati perubahan nyata posisi matahari di atas ufuk atau perubahan cahaya langit disebabkan perubahan posisi matahari di bawah ufuk. Kaedah hitungan pula adalah hitungan perbezaan sudut jam matahari ketika posisi yang sepadan dengan posisi matahari ketika tengahari (istiwa/transit).

Dalil
Posisi matahari yang menjadi rujukan bagi menentukan masuknya waktu solat adalah berdasarkan dalil Al-Quran dan Hadis yang jelas (Baharrudin, 2004 dan Baharrudin, 2003), yang kemudiannya dirumuskan kepada lima tanda awal waktu seperti berikut:

Waktu Zohor: apabila gelincir matahari
Waktu Asar: apabila bayang sesuatu sama dengannya, atau bayang dua kali panjang menurut Imam Abu Hanifah.
Waktu Maghrib: apabila matahari terbenam sepenuhnya.
Waktu Isyak: apabila hilangnya syafa’ merah.
Waktu Subuh: apabila munculnya fajar saddiq.
Dalam Abdul Ghani (1983), tanda masuknya waktu Asar ditambah dengan ayat “tidak termasuk panjang bayang waktu tengahari”.

Kaedah Cerapan
Menentukan waktu solat melalui kaedah cerapan adalah kaedah asas yang disebut dalam dalil Al-Quran dan Hadis, merupakan kaedah ‘bukan hitungan’ yang membolehkan ianya dipraktikkan oleh semua peringkat masyarakat, asalkan mengetahui maklumat asas yang disebutkan di atas. Penggunaan posisi matahari sebagai rujukan, dipraktikkan melalui perubahan pada bayang suatu objek, yang jelas dinyatakan dalam Hadis riwayat Jabir r.a dalam Baharrudin (2003). Namun berdasarkan pemerhatian penulis, rata-rata anggota masyarakat masakini sendiri tidak pasti tentang bagaimana mengetahui gelincir matahari, bayang waktu asar seperti dalam Abdul Ghani (1983), apalagi mengesan ketiadaan syafa’ merah, kemunculan fajar saddiq dan sebagainya. Penulis mengandaikan fenomena ‘tidak tahu’ ini adalah disebabkan adanya kaedah kedua, kaedah ‘hitungan’ yang membolehkan waktu solat diketahui dengan hanya merujuk kepada alat pempamir waktu, dinamakan ‘jam’.

Cerapan yang telah dilakukan sejak bertahun (turun-temurun, empirik) yang dilakukan oleh saintis Muslim, telah menghasilkan rumusan tentang posisi matahari sepadan dengan masuknya waktu solat, yang disusun secara sistematik berdasarkan konsep geometri sfera, seterusnya membolehkan waktu solat ditentukan berdasarkan kaedah hitungan geometri, dan dipaparkan menggunakan sistem waktu tempatan.

Kaedah Hitungan
Kaedah hitungan bermula dengan rumusan ahli falak berkaitan posisi matahari yang sepadan dengan masuknya waktu solat (Baharrudin, 2004). Menggunakan sistem geometri sfera bumi, dan sistem sfera langit, awal waktu solat, atau masuknya waktu solat dihitung berdasarkan perbezaan sudut jam (hour angle) antara waktu istiwa (transit = matahari berada di garisan meridian tempatan) dengan posisi matahari bagi setiap waktu solat menggunakan rumus segitiga sfera.




Waktu Zohor
Gelincir matahari didefinisikan sebagai perubahan kedudukan cakera matahari dari posisi tengahari (istiwa/transit) di garisan meridian tempatan yang memisahkan langit timur dengan langit barat. Menurut hitungan, matahari disabitkan gelincir apabila keseluruhan cakera matahari melepasi garisan meridian, dan berada di langit barat sepenuhnya. Jejari cakera matahari adalah bersudut purata 16' yang bersamaan beza sudut antara waktu istiwa dengan waktu Zohor. Gerakan sudut sebanyak 16' adalah bersamaan tempoh masa 1 minit 4 saat. Justeru menurut hitungan, waktu Zohor adalah 1 minit 4 saat selepas waktu istiwa.

Waktu Zohor = Waktu Istiwa + 1 minit 4 saat




Waktu Asar
Waktu Asar berkait dengan waktu Istiwa. Maksud ayat “tidak termasuk panjang bayang waktu tengahari” adalah jelas, kerana bagi negara di latitud tinggi, pada musim matahari berada di langit Selatan, sekitar bulan September hingga Mac, bayang sesuatu objek tegak boleh menjadi lebih panjang daripada objek tersebut sepanjang hari. Jika ayat “tidak termasuk panjang bayang waktu tengahari” diketepikan, bilakah masuknya waktu Asar?

Ketika waktu Istiwa atau tengahari, matahari tidak sentiasa berada di zenit, tetapi berubah setiap hari di sepanjang garisan meridian tempatan. Ini akan memberi kesan kepada “panjang bayang waktu tengahari” suatu objek, sebagaimana rajah berikut;




Berdasarkan posisi dalam Rajah 3 di atas, panjang bayang suatu objek ketika tengahari dihitung seperti berikut;




Lihat rajah 3 dan 4 di atas. Sudut s merupakan perbezaan sudut disebabkan perbezaan posisi matahari di langit dengan titik zenit yang boleh dihitung melalui, s = |φ - δ | dan dengan menganggap L = 1, maka panjang bayang, x, adalah x = tan (s).

Seterusnya sudut jam (t) matahari waktu Asar digambarkan pada rajah berikut;




Berdasarkan awal waktu Asar adalah apabila panjang sesuatu objek sama dengannya, berdasarkan rajah di atas, ia digambarkan seperti berikut;




Berdasarkan rajah 6, altitud matahari ketika awal waktu Asar, yang telah mengambilkira panjang bayang waktu tengahari dihitung menggunakan rumus berikut;




Setelah altitud matahari (h) diketahui, langkah seterusnya adalah menghitung sudut jam (t) yang seterusnya dijelmakan kepada Waktu Piawai Tempatan, menggunakan rumus berikut;




Seterusnya, waktu Asar = Waktu Istiwa + t (dalam jam)

Waktu Maghrib, Isyak, Subuh Dan Syuruq
Waktu Maghrib, Isyak dan Subuh, hanya menggunakan tanda-tanda fizikal cakera matahari terbenam sepenuhnya, hilangnya syafa’ merah, dan munculnya fajar saddiq. Posisi matahari bagi waktu-waktu tersebut digambarkan dalam rajah berikut;




Dalam Baharrudin (2004) dinyatakan bahawa ketika matahari berada pada altitud 0°, menurut hitungan, matahari akan berada di garisan ufuk seperti rajah berikut;




Bagaimanapun, kajian menunjukkan bahawa ketika matahari semakin rendah ke ufuk, kesan pembiasan atmosfera semakin bertambah. Ketika cakera matahari berada di bawah ufuk menurut hitungan, iaitu h = -16', matahari dilihat masih berada di atas ufuk. Untuk hitungan waktu matahari terbenam, kadar kesan pembiasan yang digunakan adalah sebanyak 34'. Ini menjadikan altitud matahari, h, ketika terbenam sepenuhnya, adalah h = -50'.




Menggunakan nilai h = -50', sudut jam, t, bagi waktu Maghrib dihitung menggunakan rumus sudut jam di atas, seterusnya;
Waktu Maghrib = Waktu Istiwa + t Maghrib
Kaedah dan nilai h bagi waktu Maghrib adalah terpakai bagi hitungan waktu Syuruq, iaitu;
Waktu Syuruq = Waktu Istiwa – t Maghrib
Bagi waktu Isyak, ahli falak di Malaysia menggunakan nilai altitud matahari, h = -18° bagi detik hilangnya syafa’ merah. Menggunakan rumus sudut jam untuk mendapatkan t bagi waktu Isyak;
Waktu Isyak = Waktu Istiwa + t Isyak
Bagi waktu Subuh, ahli falak menggunakan nilai h = -20° sebagai tanda detik munculnya fajar saddiq. Justeru;
Waktu Subuh = Waktu Istiwa – t Subuh

Waktu Istiwa
Dalam hitungan di atas, waktu istiwa memainkan peranan utama. Justeru, untuk menghitung waktu solat, waktu istiwa hendaklah dihitung terlebih dahulu. Contoh kaedah hitungan waktu istiwa boleh didapati dalam Baharrudin (2003) dan Baharrudin (2004).

Latitud dan Longitud
Seperti yang boleh dilihat pada Rajah 1, segitiga astronomi, atau segitiga sfera, hitungan turut menggunakan maklumat latitud dan longitud yang merupakan koordinat geografi bagi suatu lokasi yang hendak dihitung waktu solatnya. Dalam sistem hitungan yang diamalkan di Malaysia, koordinat yang digunakan adalah koordinat yang dianggap mewakili suatu daerah atau zon waktu solat. Secara mudah, lokasi tersebut mestilah lokasi yang apabila masuk waktu bagi lokasi tersebut, maka bermakna telah masuk waktu bagi lokasi yang satu zon dengan lokasi rujukan tersebut. Kaedah yang digunakan sekarang adalah lokasi paling barat, atau hampir paling barat dalam suatu zon. Manakala bagi waktu Syuruq, lokasi paling timur dalam zon tersebut digunakan, atau pengurangan (mengawalkan) waktu dilakukan semasa hitungan waktu Syuruq.

Ketinggian Dari Aras Laut
Faktor ketinggian suatu lokasi dari aras laut turut mempengaruhi awal waktu solat Maghrib dan waktu terbit matahari (Syuruq). Pembetulan nilai altitud matahari, Dip, dikenakan kepada altitud matahari, h, sebelum sudut jam (t) dihitung. Rumus pembetulan (tinggi dalam meter) adalah seperti berikut;




Rujukan
Baharrudin bin Zainal. 2004. Ilmu Falak Edisi Kedua. Kuala Lumpur:Dewan Bahasa dan Pustaka.
Baharrudin bin Zainal. 2003. Ilmu Falak: Teori, Praktik Dan Hitungan. Kuala Terengganu:Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin.
Abdul Ghani Bin Yahya. 1983. Idaman Penuntut Pada Menghuraikan Yang Kusut. Johor Bahru: Penerbitan Haji Abd. Ghani Haji Yahya.

- Posted using BlogPress from my iPad

6 comments:

waktusolatmalaysia.com said...

Layari website saya untuk waktu solat.

mio said...

Assalamu 'alaikum,
Bgmna sya dpt hubungi tuan untuk lebih pencerahan?
Sya dpt maklum bhw waktu solat fajr/Subuh di Malaysia ada sedikit anjakan (+).
Sya juga berminat utk mengetahui bgmna pula di latitud tinggi spt kami di NZ. (-48)
Wassalam.

Ahmad Taufan said...

Terima kasih tuan. emel saya demunas di gmail dot com

Awangkj said...

Assalamualaikum
UTK menentukan waktu solat bg pekerja kt pelantar minyak mcmne?

Awangkj said...

Assalamualaikum
UTK menentukan waktu solat bg pekerja kt pelantar minyak mcmne?

hanis afiza said...

Assalamualaikum, maaf bertanya,jika encik tidak keberatan untuk menjawab, saya ingin bertanya adakah setiap peralihan waktu solat bersamaan dengan perubahan warna alam?