(samb. Bhg. 1)
Perisian
Perisian yang sesuai, ialah perisian yang telah diuji kejituannya, sebenarnya. Bagaimana pun, boleh saya titipkan beberapa perisian yang pernah dan sedang saya gunakan. Perisian percuma boleh diperolehi di stellarium.org yang menyediakan perisian percuma untuk pengguna Windows, Mac dan Linux. Menarik bukan? Stellarium adalah perisian jenis simulasi planetari, memaparkan rajah posisi objek langit dalam bentuk 3D, berasaskan pandangan mata seorang pencerap. Pilih masa yang anda kehendaki, dan anda boleh lihat posisi objek langit yang berkenaan.
Perisian Skymap juga antara perisian yang tidak kurang hebatnya. Berbeza dengan Stellarium yang percuma, Skymap mempunyai versi percuma (masih ada ke?) dengan fungsi asas dan versi berbayar dengan fungsi penuh.
Dibina khusus untuk aplikasi falak dalam ibadat, Kalkulator Falak memberikan anda beberapa pilihan kalkulator. Khusus untuk hilal, Kalkulator Posisi Hilal memberikan rumusan posisi hilal ketika matahari terbenam, pada hari 29 dan 30 hijriyah. Ini membolehkan anda memutuskan untuk merukyah pada tarikh mana. Hanya pilih lokasi cerapan, pilih hilal, atau anak bulan bulan mana, dan tahun hijriyah berkenaan, seterusnya rumusan posisi hilal dipaparkan.
Selongkar dahulu apa yang Stellarium, Skymap dan Kalkulator Falak sediakan untuk anda, fahami penggunaannya, dan sedia untuk langkah seterusnya.
Hari Cerapan
Menggunakan contoh masukan sebelum ini, tarikh 11hb Feb 2013 adalah tarikh dicadangkan untuk cerapan hilal dilakukan. Jika anda ingin melihat bulan sabit tua, lihat pagi ini (sempat tak?), esok dan lusa, sebelum matahari terbit. Menggunakan perisian yang dinyatakan, dapat posisi (azimut dan altitud) bulan dan matahari pada tarikh cerapan, dan waktu cerapan akan dilakukan. Dapatkan sebuah kompas, jika boleh, untuk menentukan kedudukan objek berkenaan di lokasi cerapan. Cerapan bulan tua dilakukan menghadap arah timur sebelum matahari terbit, manakala cerapan anak bulan dilakukan menghadap arah barat selepas maghrib. Namun persediaan adalah sebelum maghrib, ketika hari masih cerah. Jika tiada kompas, lihat azimut matahari sebagai rujukan, contoh, azimut matahari pada hampir maghrib 11 Feb adalah 255°, manakala azimut bulan 261°. Lihat arah matahari, anda tahu bahawa bulan berada 6° sebelah kanan matahari. Altitud pula diukur dari aras ufuk hakiki (0°). Carilah lokasi yang ufuknya serendah mungkin menghampiri 0°.
Setelah anda pastikan posisi bulan atau anak bulan, fokus pandangan anda ke arah tersebut. Jika ada peralatan seperti binokular dengan kuasa 7x ke atas adalah lebih baik. Beberapa imej anak bulan ada di laman ini. Bentuknya tidaklah berbeza sangat, kedudukannya sahaja berbeza. Selamat mencuba.
(bersambung)
No comments:
Post a Comment