Pages

Thursday, January 31, 2013

Ingin Melihat Hilal? (Bhg. 1)

Salam.

Titipan kali ini saya berikan tajuk "Ingin melihat hilal?", dengan tujuan menerangkan serba sedikit langkah-langkah yang biasa dilakukan oleh seorang ahli falak, sebelum, semasa dan selepas aktiviti melihat (merukyah) hilal (anak bulan) dilakukan. Aktiviti melihat hilal termasuk juga aktiviti melihat bulan sabit tua, iaitu aktiviti yang dilakukan sebelum matahari terbit pada hari ijtimak (conjunction), atau sehari sebelum ijtimak berlaku. Aktiviti melihat bulan sabit tua menjadi penting disebabkan faktor berikut:-
  1. Hilal hanya ada 12 kali setahun. Disebabkan sifat bulan sabit tua yang seakan-akan sifat hilal, menjadikan peluang melihat 'hilal' adalah 24 kali setahun. 
  2. Bulan sabit tua tidak boleh kelihatan pada hari yang sama dengan hilal. Kenampakan bulan sabit tua menjadi indikasi kepada kenampakan hilal.
  3. Cuaca pagi dan cuaca petang adalah berbeza. Peluang kenampakan antara keduanya juga berbeza.

Sebelum

Menjelang awal suatu bulan hijriyah, persediaan dilakukan untuk dua aktiviti. Pertama, merukyah bulan sabit tua. Kedua, merukyah hilal. Persediaan awal adalah menentukan tarikh aktiviti akan dilakukan. Contohnya, anda ingin merukyah pada awal Rabiulakhir 1434 nanti. Bilakah aktiviti akan dilakukan?
  1. Semak takwim hijrah negeri/daerah anda. Lihat, bilakah tarikh 29 Rabiulawal? 10 Februari 2013, hari Ahad. Seterusnya semak jika takwim anda menyediakan maklumat 'ijtimak'. Lihat tarikh dan waktunya. Jika tidak ada, anda boleh menelusuri laman web ini (http://www.timeanddate.com/calendar/moonphases.html). Pastikan lokasi adalah di Malaysia untuk menggunakan Waktu Malaysia. Lihat jadual pada kolum 'New Moon', yang bermaksud ijtimak dalam istilah Falak. Cari tarikh 10 Februari 2013, atau tarikh terhampir, seperti 9 atau 11 Feb. Ijtimak boleh berlaku sebelum, pada atau selepas tarikh 29 hijriyah.
  2. Menggunakan data ini, ijtimak berlaku waktu Malaysia jam 15.20, 10 Feb 2013. Lihat takwim anda semula. Lihat waktu maghrib 10 Feb 2013. Contoh Terengganu, maghrib jam 19.20. [ 19.20 - 15.20 = 4 jam 00 minit ]. Dengan mudah anda boleh rumuskan bahawa Hilal Rabiulakhir tidak boleh kelihatan dari tempat anda kerana umurnya belum melepasi had boleh nampak. Oleh sebab rukyah Rabiulakhir bukan acara rasmi negeri, anda boleh putuskan bahawa tiada rukyah akan dilakukan pada petang 10 Feb 2013. Jadi, bila aktiviti hendak dilakukan?
  3. Memandangkan pada 10 Feb 2013 Hilal 'tidak boleh kelihatan' selepas maghrib, mungkin peluang yang ada adalah sebelum matahari terbit 10 Feb 2013, iaitu bulan sabit tua.Lihat kembali takwim anda. Lihat waktu syuruk 10 Feb. Terengganu sekitar 7.23. [15.20 - 7.23 = 7 jam 57 minit ]. Walaupun peluang nampak agak kritikal, anda boleh mencuba melihat bulan sabit tua sebelum matahari terbit (selepas subuh) pada 10 Feb 2013. Anda boleh juga mencuba lebih awal, sehari sebelum, iaitu selepas subuh 9 Feb 2013 (lebih mudah nampak).
  4. Gunakan apa-apa perisian Falak yang boleh mengeluarkan maklumat kedudukan (altitud dan azimut) bulan dan matahari antara subuh dan syuruk setiap minit, atau setiap 5 minit, supaya anda boleh tentukan arah pemerhatian mata (atau alat) anda dengan betul. Cetak maklumat ini.
  5. Seterusnya keluarkan dan cetak maklumat yang sama (altitud dan azimut bulan) untuk maghrib hingga waktu bulan terbenam (moonset) pada 11 Feb 2013. Anda bersedia untuk merukyah bulan sabit tua Rabiulawal  dan Hilal Rabiulakhir 1434.
-bersambung-

No comments: