Sesungguhnya saya bukan pakar bidang perbincangan di bawah. Namun pengalaman mendorong saya untuk mengulas juga. Betulkan jika khilaf. Barulah Ilmu berkembang? Bukan? Terima kasih.
1. Sains adalah istilah English (Science) yang bermaksud Ilmu (علوم) dalam bahasa Arab. Kedua-duanya diterima sebagai istilah dalam bahasa Melayu. Dalam kamus bahasa Melayu, ilmu bermaksud pengetahuan, kepandaian, kepakaran, keahlian, kemahiran, kebijakan, kebijaksanaan, kepintaran, pelajaran, pendidikan dan seni.
2. Istilah Ilmu Sains dalam dunia Melayu seolah sedikit tersasar, apabila ilmu lain yang tidak terkandung dalam buku Ilmu Sains, maka ia bukan Ilmu Sains. Ilmu Agama bukan Ilmu Sains.
3. Apa yang terkandung dalam buku Ilmu Sains? Fizik, Kimia dan Biologi. Kemudian timbul istilah, malah buku 'Sains dan Teknologi'. Seolah-olah Sains dan Teknologi itu perkara berbeza. Mengambil maksud asal Sains, tentulah teknologi itu juga satu sains. Bagaimana dengan Sains Sosial? Istilah 'aliran Sains' pula bagaimana?
4. Pelajar Pengajian Islam mempelajari subjek antaranya Ulumul Quran, Ulumul Hadis dll. Ulum, dalam bahasa Arab, adalah Science dalam bahasa Inggeris. Jika dimelayukan cara sekarang, tentulah menjadi Sains al-Quran, Sains al-Hadis. Setuju?
5. Lihat pula istilah 'Sains dan al-Quran'. Pendekatan Sains-Agama, atau Sains-AlQuran, pada fikiran saya, hanya menyerlahkan pembezaan ini dalam budaya umat Islam di negara ini. Mengambil maksud sains dalam ertinya yang asli, Sains terangkum dalam semua bidang. Lihat definisi di bawah.
6. Apa itu Sains? Suatu Ilmu yang mengkaji fakta yang dicerap dan disusun secara bersistem dan dihimpun dalam bentuk hukum umum . Apa sahaja yang melibatkan 'hukum umum' (generalisasi), mempunyai metodologi sistematik, bukan artistik, adalah Sains.
7. Al-Quran, menyuruh umat Islam mengkaji alam, mengkaji manusia sendiri supaya nyata dan jelas bukti bahawa al-Quran itu benar, Allah itu benar. Justeru, alam semesta yang diceritakan serba sedikit dalam al-Quran, hendaklah, perlulah dikaji lebih lanjut melepasi had penceritaan dalam al-Quran sehingga pengkaji menemui bukti akan kebenaran Allah swt.
8. Suatu yang ironi, pada fikir saya, apabila penemuan terbaru yang begitu khusus, dicari keterangannya dalam al-Quran, kalau tidak sama, yang seakan-akan sama. Usaha ini untuk membuktikan penemuan, atau untuk membuktikan ayat itu benar? Penemuan menurut al-Quran, atau al-Quran menurut penemuan. Perlu diingat, penemuan boleh berubah, tetapi maksud al-Quran, tidak mungkin, atau kita mula memikirkan untuk menafsir semula supaya selari dengan penemuan?
9. Apa yang ada di dalam al-Quran, setakat mana ia ditafsirkan dan difahamkan. Selebihnya, seterusnya, tugas para pengkaji untuk memahami lebih jauh, lebih terperinci, sehingga menemui Allah swt wujud dalam kajian tersebut. Selagi pengkaji tidak menemui campurtangan Allah swt (kewujudanNya sebagai Pencipta) dalam kajiannya, kajiannya belum selesai, atau silap metodologi. Kebenaran Allah swt tidak hanya pada ayat al-Quran yang mendahului zaman, bahkan pada alam yang kompleks, penuh seni, malah setengahnya tidak tercapai akal, mustahil terjadi dengan sendiri.
10. Sains terbit daripada perintah Allah swt dalam al-Quran. Lahirnya saintis Muslim adalah rentetan usaha menyempurnakan ibadat dan muamalat dengan lebih baik. Mencapai hidup sejahtera, dunia dan akhirat. Yang pasti semuanya bermula dengan 'belajar'.
WalLahu A'lam.
No comments:
Post a Comment