Thursday, January 31, 2013

Salawat dan Salam

Bismillah.

Salawat dan salam ke atas Nabi Muhammad dan keluarganya.

Seawal ingatan yang ada terhadap Nabi s.a.w. adalah disaat awal persekolahan. Saya tidak bermula dengan tadika. Tidak kenal pun, masa itulah. Maklumlah, membesar di kampung yang mula mendapat kemudahan elektrik semasa berumur 9 tahun. Masih ingat bersama beberapa warga kampung, termasuklah emak dan abah, serta adik beradik ke 'tanjung', istilah kawasan tiada penduduk di seberang sungai, mengumpul kayu api. Paling awal ingatan yang ada adalah ketika kelahiran adik bongsu, saya berusia 3 tahun berada di ribaan seseorang, waktu malam yang disinari cahaya pelita. Ketika itu kelahiran menggunakan khidmat bidan (nenek saudara) kampung. Adik selamat dilahirkan di rumah.



Ketika saya sudah mula pandai membaca, antara buku yang masih terlekat sebahagian kandungannya di dalam ingatan, walau bukunya entah ke mana, adalah buku mengenai kisah hidup Nabi Muhammad s.a.w. Rasanya ditulis penulis Indonesia, kerana bahasanya sedikit ke-Indonesia-an, seperti datuk menggunakan istilah kakek. Yang lain tidak ketara sangat. Namun cara pengkisahan dalam buku itu begitu menyentuh jiwa, hingga sebahagian kandungannya, seperti yang saya katakan di awal perenggan ini, masih terlekat di ingatan.

Kisah kelahiran Baginda s.a.w., kegembiraan Abdul Mutalib, penyerahan kepada Halimah, peristiwa pembelahan dada, ketakutan saudara sesusu, penyerahan semula kepada ibunya Aminah, mengikut Abu Talib ke Syam adalah antara kisah dalam ingatan kesan pembacaan buku tersebut. Pembacaan semula kisah melalui buku lain, tidak menghilangkan ingatan saya terhadap beberapa muka surat buku tersebut. Menarik bukan? Benarlah kata-kata bahawa ingatan semasa kecil lebih baik.

Kesimpulan yang dapat saya buat daripada kandungan buku itu adalah bagaimana ia berjaya menonjolkan keluhuran jiwa, kemurnian akhlak Baginda Nabi s.a.w. yang sememangnya diakui sejak dahulu hingga kini. Kita dapati berapa banyak buku menulis mengenai Baginda s.a.w. dan tidak ada satu pun yang menafikannya melainkan ia disedari tidak betul dan tidak diterima oleh banyak orang.

Saya menyeru diri saya sendiri, dan rakan pembaca, untuk sama-sama menghayati sirah Baginda Nabi Muhammad s.a.w. mudah-mudahan kalau tidak semua, kalau tidak banyak, kita dapat juga mencontohi walau sedikit daripada sifat mulia Baginda s.a.w. Moga kita tergolong dalam kalangan umat Baginda s.a.w. yang diterima.

والله ولی التوفیق

No comments: