Monday, January 14, 2013

Anak Bulan Rabiulawal 1434

Salam.

1. Tarikh 12 Jan 2013 adalah bersamaan 29 Safar 1434. Menurut sistem takwim, tarikh 29 Safar adalah hari rukyah penentuan awal Rabiulawal 1434.

2. Rukyah yang dilakukan pihak berwajib adalah rutin tiap bulan bagi memastikan tarikh yang ditentukan menggunakan kaedah imkanurrukyah itu sah dan betul. Ia penting untuk dokumentasi dan rekod, sama ada kelihatan atau tidak, disebabkan cuaca atau sememangnya tidak boleh kelihatan, ia disahkan dengan rukyah yang dilakukan. Sekurang-kurangnya fardu kifayah telah dilaksanakan.

3. Awal Rabiulawal ditetapkan dengan maklumat seperti berikut (maklumat di bawah adalah bagi Kuala Terengganu, bukan rujukan rasmi kebangsaan).



4. Maklumat menunjukkan bahawa pemisahan fasa bulan lama dengan bulan baru (ijtimak) berlaku waktu Malaysia jam 3.45 pagi 12 Jan 2013. Ketika maghrib 12 Jan, tempoh dari ijtimak ke maghrib (dinamakan umur bulan) sekitar 15 jam, kadar yang menurut rekod-rekod lampau, anak bulan boleh kelihatan. Jarak Bulan-Bumi pada kadar 363,628 km menunjukkan Bulan berada dekat dengan Bumi (jauh boleh sehingga sekitar 420,000 km). Jarak dekat memberikan indikasi berikut : Halaju lebih cepat dan saiz lebih besar, berbanding pada jarak lebih 400,00 km.

5. Sekalipun rukyah yang dilakukan pada 12 Jan lalu hasilnya negatif (tidak kelihatan), faktornya adalah cuaca kurang baik (awan), cerapan pada hari berikutnya membuktikan kedudukan Bulan pada 12 Jan menurut hitungan adalah benar. Kedudukan pada 12 Jan ketika maghrib, altitud Bulan 6.9°. Bulan, akan menjauhi Matahari kira-kira 10°-13° sehari (24 jam). Ketika maghrib 13 Jan, Bulan akan berada sekitar 20° dari ufuk. Berdasarkan cerapan yang dilakukan pada 13 Jan menunjukkan Bulan berada pada ketinggian tersebut ketika Maghrib. Siapa yang melihat Bulan maghrib tadi (14 Jan) tentu sedar bahawa Bulan berada pada ketinggian sekitar 33°.

6. Ketepatan hitungan ini memang menunjukkan keupayaan manusia mengkaji, menghitung dan merumus, namun lebih utama lagi, perlu disedari dan diinsafi akan kehebatan Allah swt menetapkan pergerakan Bulan dan Matahari, dan ketaatan makhluk Allah swt seperti Bulan dan Matahari mematuhi ketetapan Allah swt begitu tepat sehingga tidak selisih walau sesaat pun.

Allahuakbar.

- Posted using BlogPress from my iPad

No comments: