Thursday, July 14, 2022

Setengah tahun 2022

 Apa khabar?

Apabila wujudnya FB, blog bagaikan dilanda geruda. Hampir sekian banyak penulisan menggunakan FB. Tambahan pula, sebahagian penulisan di FB itu umpama ulangan sahaj daripada sekian banyak penulisan say di sini. Jadi, apa bezanya? 

Sehingga 2022, laman Kalkulator Falak dipindahkan ke URL baharu iaitu appfalak.com sebagai tapak projek pembangunan aplikasi baharu. Penggunaan laman appfalak.com lebih mudah dikendali sekalipun memakan sedikit biaya untuk meneruskan penggunaannya. 

Dari satu sudut, tapak di server pejabat mungkin boleh berterusan, mungkin juga tidak apabila tiada lagi sistem sokongan terhadap teras sistem laman. Jadi appfalak.com jika tidak diteruskan yuran langganan pun akan mematikan juga laman ini. Risikonya hampir sama. 

Pilihan terbaik di fikiran saya, dengan izin Allah, akan diterbitkan juga buku sebuah dua berkaitan pembangunan sistem appfalak.com dan teras sistem dan hitungannya. Konsepnya, pembaca boleh menggunakan buku itu nanti sebagai asas untuk membangunkan laman web atau sistem serupa menggunakan pendekatan atau teras sistem berlainan di masa depan. 

Doakan saya. Moga anda dan saya menjadi hamba Allah yang diredhai jua. Amin

Monday, November 26, 2018

Menjelang 2019

2018 berlalu dengan isu-isu yang sama setiap tahun. Fenomena falak juga berlalu seperti biasa dengan program anjuran sempena fenomena tersebut. Alhamdulillah, untuk tahun 2018 sahaja, dua fenomena gerhana bulan penuh berjaya disaksikan sebanyak dua kali, pada tanggal 31 Januari dan 28 Julai lepas.


Gambar adalah gerhana Julai lepas. Ternyata mata mula memusuhi fokus kamera. Agak terdesak merakam imej kabur ketika gerhana bulan untuk mendapatkan fokus terbaik. Agak menyerah kalah jugalah namanya, apabila gambar terhasil tidaklah sebaik mana fokusnya. Jadilah, kata orang .. hehe.

Tiada kajian rasmi dibuat, jadi tiada fokus penting dalam pemerhatian gerhana ini. Secara umum, detik gerhana berlaku seolah-olah lebih awal dari waktu jangkaan. Namun, beberapa indikator perlu diteliti kerana kenampakan dengan mata tidak sama dengan rakaman kamera. Petunjuk menerusi rakaman lebih baik sepatutnya, tetapi program yang melibatkan kehadiran awam menyebabkan saya gagal fokus kepada rakaman tetapi lebih kepada melayan pertanyaan dan aktiviti cerapan mereka yang hadir yang ghairah ketika detik-detik penting gerhana. Jadi aspek berkenaan saya serahkan kepada mereka yang lebih berpeluang, atau memang fokus kepada perkara tersebut. Saya cukup dengan bukti yang saya turut hadir sajalah.. hahaha

Yang penting, syukur kepada Ilahi yang masih beri peluang menyaksikan kejadian alam yang indah ini. Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa.

Wednesday, June 7, 2017

Setelah sekian lama

Assalamualaikum wmt wbt

Setelah sekian lama tidak menulis di sini, gara-gara laman editor dan paparan blogger.com ini tidak serasi dengan server organisasi tempat saya, yang menidakkan terus upaya mencapai laman admin untuk suntingan.

Mohon maaf jika ada yang masih sudi melayari untuk maklumat terbaru dan hampa.

Selain itu, bidang saya yang secebis apa lagi ilmu nan sekelumit, terasa bagai sudah habis segala apa yang hendak saya sampaikan seputar ilmu dan bidang keupayaan saya.

Namun, masa yang berlalu bukan hanya menjadikan ilmu itu berkembang, rupanya berlaku juga penguncupan ilmu, dek kurangnya sebaran ilmu dan ilmuan yang aktif, generasi yang baharu menjengah dunia maya (apa lagi mereka yang hanya rajin di dunia maya) rupanya adalah kalangan mereka belum mendapat maklumat dan ilmu, sedangkan ia telah lama diperbincangkan malah hampir dilupakan, dengan anggapan 'telah selesai'.

Kenapa? 

Dunia maya adalah tidak ubah seperti surat khabar jua. Apa yang dihidang depan mata adalah ehwal semasa dalam satu paparan skrin komputer, pada paparan helaian akhbar sahaja. Lalu perihal dan berita semalam, adalah surat khabar lama yang menjadi pembungkus nasi lemak, paling tidak menjadi lapik duduk.  Demikian juga paparan alam maya di skrin komputer, perihal semalam akan menjadi satu baris pautan sahaja, atau terus berstatus 'history'. 

Jika anda penggemar Facebook (Fb), anda tentu setuju bahawa status Fb bagi mereka yang berada dalam kumpulan aktif, amat cepat berubah sehingga status ilmiah sekalipun yang baru di baca lima minit yang lalu, boleh saja menjadi status yang perlu di'scroll' berkali-kali untuk dibaca semula selepas 30 minit berlalu. Hanya mereka yang rajin akan terus ke Fb berkaitan untuk membaca. Anda juga tentu setuju, lebih ramai mengharap maklumat melintas depan mata, malah untuk mengetik 'read more' pun tidak ramai yang melakukannya. Diberi 'link' pun masih minta 'copy paste' sahaja.

Apakan daya. 

Soal arah kiblat timbul semula, tetapi berkisar penggunaan gajet pintar. Terpanggil juga untuk mengulasnya, nantilah. Sedang susun kata. 

Wallahuaalam











Sunday, April 3, 2016

Hitungan Awal Bulan Hijriyah

Salam.

Awal bulan hijriyah ditentukan berdasarkan hitungan posisi bulan dan matahari, bila mana pada ketika ghurub matahari petang 29 hb hijriyah, bulan berada pada ketinggian yang tertentu yang boleh disabitkan sebagai; (1) ada dan boleh nampak, (2) ada tetapi tidak boleh nampak, atau (3) tiada di atas ufuk (terbenam ketika atau sebelum matahari terbenam). Bagaimanapun, hari ke 29hb ini juga sebenarnya ditentukan berdasarkan rumusan hari ke 29hb bulan hijriyah sebelumnya. Maksudnya, sebagai contoh, 29 Rejab adalah berdasarkan tetapan yang dibuat pada 29 Jamadilakhir, yang juga berdasarkan tetapan pada 29 Jamadilawal, dan seterusnya, adalah langkah yang penting dalam penyusunan takwim.

Hari berlakunya ijtimak bulan dan matahari (conjunction of the sun and the moon) tidak boleh terus dijadikan hari ke 29. Ia langkah yang salah. Penggunaan kriteria kenampakan berlainan akan memberikan tarikh 29hb yang berbeza. Langkah terbaik adalah melalui hitungan satu atau dua bulan sebelum bulan semasa itu diketahui hari ke 29hb yang betul.


انتهى