Monday, August 16, 2010

Oh Anak Bulan

Selamat menyambut ketibaan bulan Ramadhan.

Ramadhan di Malaysia bermula hari Rabu, 11 Ogos 2010 yang lalu. Berdasarkan hitungan falak, bulan pada ketika Maghrib di Barat Semenanjung, berada pada ketinggian kira-kira 2 darjah atau kurang, dari aras ufuk. Berdasarkan maklumat beberapa sumber, anak bulan dilaporkan tidak kelihatan atas faktor awan tebal. Sememangnya beberapa negeri hari itu mengalami hujan, paling tidak renyai-renyai.

Hitungan falak juga menunjukkan umur bulan (tempoh dari waktu ijtimak ke waktu perhitungan, untuk Malaysia, waktu bulan terbenam) kira-kira 8 jam atau lebih.

Berdasarkan rekod kenampakan dan laporan dalam moonsighting.com, sebahagian besar negara dari Afrika hingga Asia melaporkan tiada kenampakan, kecuali beberapa laporan yang dianggap tidak 'authentic' oleh moonsighting.com, dari Indonesia dan Arab Saudi.



Justeru, penetapan tarikh awal Ramadhan Malaysia adalah berdasarkan 'syarat kenampakan yang dipenuhi'.

Sehingga hari ini, kenampakan anak bulan termuda pada had mata kasar masih sekitar umur 14-16 jam. Beberapa laporan terkini menunjukkan anak bulan telah dilihat pada had umur 10-12 jam, namun masih melalui teleskop atau binokular. Jumlah laporan pula masih pada bilangan yang kecil.

Pandangan rakan-rakan ahli ilmu, tidak dapat saya sangkal, apabila 'menetapkan sabit anak bulan wujud berdasarkan syarat yang dipenuhi' tidak memenuhi maksud kaedah yang digunapakai iaitu 'jika anak bulan boleh kelihatan dalam keadaan biasa' apabila syarat itu sendiri tidak memenuhi justifikasi kenampakan menurut sains. Jika sains sendiri menolak kenampakan semuda 8 jam, bermakna anak bulan pada umur 8 jam  'tidak boleh nampak dalam keadaan biasa', dan menyalahi kaedah yang digunakan.

Masalah besar di sini adalah kenapa 8 jam? kenapa tidak 10? atau 12? atau 15? supaya ia memenuhi justifikasi 'boleh nampak dalam keadaan biasa' dan seterusnya memenuhi kaedah fekah yang digunakan tersebut.

Timbul masalah kedua, memilih nilai baru untuk menjadi syarat yang sesuai. Maklumat rukyah terdahulu sudah ada. Laporan seluruh dunia juga boleh diperolehi. Gunakan nilai minimum biasa kelihatan, bukan nilai minimum yang masih 'kadang-kadang' kelihatan, kerana jumlahnya sedikit. Dengan ini, kaedah fekah yang digunakan dipenuhi, Insya Allah Taala boleh memuaskan hati ilmuan agama, sudah barang tentu tiada masalah di pihak ahli sains. Suatu yang 'kadang-kadang' itu, boleh diselesaikan dengan perisytiharan menjelang tarikh berkenaan.

Memuaskan hati pihak ilmuan agama, dan ahli sains, bererti menyatukan umat Islam Malaysia amnya, apabila tiada pertikaian lagi antara mana-mana pihak terhadap keputusan pihak berkuasa.

Membincangkan suatu yang menjadi dasar kebangsaan adalah suatu yang agak berat, namun apabila justifikasi sains adalah sebenarnya menyokong dasar hukum syarak, penulis terpaksa akur bahawa terdapat kebenaran dalam usaha menjustifikasikan semula syarat Imkanurrukyah yang digunakan hari ini.

Namun dalam keghairahan membangkitkan isu ini, kaedah usul fekah juga menetapkan selagi kaedah sedia ada dipakai pihak berkuasa, kaedah tersebut perlu diterima demi maslahat ummah, sehingga pihak berkuasa sendiri mengubahnya suatu masa nanti. Sehingga itu, perbincangan dan usul boleh dikemukakan melalui medium yang sesuai, kerana ilmu tetap perlu dikembangkan, teknologi tidak boleh dikesampingkan. Kekuatan ummat adalah melalui penyatuan.

Hamba yang fakir menutup bicara.
Ramadhan Kareem.

No comments: