PERISYTIHARAN awal Ramadan atau tarikh hari raya oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu adalah detik ditunggu-tunggu untuk mendapatkan keputusan muktamad bermulanya puasa dan Aidilfitri.
Pengisytiharan permulaan bulan Islam di negara ini berdasarkan rukyah iaitu aktiviti melihat anak bulan pada hari ke 29 setiap bulan hijrah. Hari ini, bersamaan 29 Syaaban 1431 hijrah, pihak berkuasa membuat persiapan bagi menentukan tarikh 1 Ramadan.
Teodolit merupakan antara instrumen rukyah |
Rukyah turut dilakukan pada hari ke 30 jika anak bulan tidak kelihatan hari sebelumnya bagi tujuan analisis dan rekod kerana tarikh awal bulan ditetapkan berdasarkan rukyah hari ke-29. Ada kalanya rukyah dilakukan pada petang 1 hari bulan baru jika anak bulan masih gagal dikesan hari sebelumnya kerana masalah cuaca.
Hisab menurut pelaksanaan di Malaysia adalah aktiviti menghitung ‘efemeris’ bulan dan matahari serta elemen berkaitan dan seterusnya melakukan analisis bagi membuat justifikasi sama ada anak bulan pada hari ke 29 suatu bulan hijrah itu, kelihatan atau sebaliknya.
Hitungan hisab adalah berasaskan aktiviti cerapan (rukyah) yang dilakukan sekian lama sejak sebelum kedatangan Islam. Hasil cerapan ini dicatat dalam banyak manuskrip, disusun menjadi rumusan sains mengenai kenampakan anak bulan dan jangkaan mengenainya.
Ini turut tercatat dalam manuskrip hasil tulisan saintis atau ulama Muslim terdahulu. Apa yang dibuat hari ini adalah meneruskan kesinambungan usaha pengumpulan maklumat dan analisis kenampakan untuk menghasilkan rumusan hisab yang lebih baik mengenai kenampakan anak bulan.
Aktiviti rukyah, analisis hasil dan pembentukan rumusan (hisab) adalah komponen saling berkait dalam bidang ilmu yang dinamakan sebagai Ilmu Falak iaitu ilmu mengkaji objek angkasa melalui cerapan secara sistematik dan dihimpun dalam bentuk hukum umum (hisab).
Berdasarkan definisi itu, apabila menyebut mengenai ilmu falak, ia membabitkan rukyah dan hisab sekali gus iaitu BUKAN bidang ilmu yang terpisah daripada aspek hukum dan amalan.
Justeru, menyebut penentuan awal bulan berdasarkan ilmu falak agak kabur maksudnya berbanding menggunakan istilah rukyah dan hisab seperti digunakan sekarang.
Imkanurrukyah bermaksud ‘kebolehnampakan’ merujuk kepada faktor fizikal bulan dan matahari yang memenuhi syarat kebolehnampakan atau tidak. Syarat kebolehnampakan ini dibangunkan berdasarkan analisis dan rekod hasil aktiviti rukyah yang dilakukan selama ini.
Ini menjadikan aktiviti rukyah adalah aktiviti saintifik kerana membabitkan teori dan cerapan, seterusnya pembinaan justifikasi atau hukum umum berkaitan kenampakan anak bulan. Justifikasi atau syarat ini seterusnya membolehkan kenampakan anak bulan seterusnya dijangkakan kenampakannya dan takwim boleh disusun dengan baik bagi satu tahun akan datang.
Sains sifatnya tidak mutlak kerana hukum sains adalah jumpaan atau hasil kajian yang dilakukan. Hasil kajian bergantung kepada metodologi digunakan. Justeru, sains terdedah kepada ralat, modifikasi, pembetulan malah penolakan.
Sifat tidak mutlak ini menyebabkan aktiviti rukyah menjadi asas justifikasi atau syarat imkanurrukyah tetap menjadi tunjang utama dilakukan hingga hari ini. Mengenepikan rukyah bererti mengangkat sains menjadi mutlak, mengenepikan hisab bererti menolak aspek saintifik rukyah.
Penggunaan kaedah rukyah dan hisab bagi menentukan awal bulan membolehkan takwim negeri diterbitkan seawal mungkin, tarikh awal bulannya tidak bersalahan dengan perisytiharan dibuat kemudian.
Apabila tarikh awal bulan tidak bersalahan dengan perisytiharan, bermaksud tidak berbeza dengan hasil aktiviti rukyah itu sendiri, ini tidak bermakna rukyah sudah tidak relevan atau perisytiharan itu boleh dilakukan lebih awal.
Walaupun sains falak boleh menjangkakan tarikh awal bulan, pengesahannya hanya boleh dibuat selepas rukyah dilakukan. Apabila ia membabitkan ibadat khusus seperti puasa dan dua hari raya, maka rukyah menjadi penting dan perisytiharan khas dilakukan berbanding bulan lain.
Analisis terhadap rekod terdahulu menghasilkan justifikasi mengenai sifat fizikal bulan paling minimum boleh kelihatan. Had minimum ini dijadikan syarat untuk menetapkan anak bulan pada Maghrib hari 29 suatu bulan hijrah itu boleh nampak atau tidak.
Pelaksanaan di Malaysia, kuantiti syarat digunakan adalah ketinggian (altitud) dengan jarak lengkuk (elongasi) dan tempoh dari waktu ijtimak ke waktu bulan terbenam (umur). Justeru, ilmu falak digunakan untuk menjangkakan kenampakan anak bulan bulan hijrah berdasarkan syarat diguna pakai.
Kaedah guna pakai syarat adalah ketika matahari terbenam pada hari ke-29 bulan hijrah, anak bulan disabitkan ada dan boleh nampak apabila memenuhi syarat. Sekalipun bulan altitudnya 1 di atas ufuk sebenarnya ‘ada’ secara teknikal, tetapi ‘tidak boleh nampak’ berdasarkan analisis rukyah lampau, maka ia tetap tidak memenuhi syarat dan anak bulan disabitkan ‘tidak boleh kelihatan’.
Jika pada situasi seperti itu anak bulan dilaporkan nampak, siasatan akan dilakukan terhadap orang yang mendakwa bagi memastikan kesahihan yang dilihat adalah anak bulan sebenar, bukan disebabkan kekeliruan atau sebagainya.
Di Malaysia, rukyah rasmi hanya membabitkan anggota rombongan rukyah dilantik jawatankuasa negeri dan dilakukan di tempat rasmi seperti di Terengganu di Bukit Besar, Kuala Terengganu (stesen utama negeri); Balai Cerap KUSZA, Merang, Setiu; Pulau Perhentian, Besut dan Bukit Kemuning, Kemaman.
Setiap tempat rukyah diketuai Pegawai Agama Daerah itu, manakala di Bukit Besar diketuai oleh mufti. Setiap tempat dibekalkan data efemeris bulan matahari yang diterbitkan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM).
Rukyah secara rasminya dimulakan kira-kira 10 minit sebelum matahari terbenam sebagai persediaan dan berterusan hingga waktu bulan terbenam. Jika bulan terbenam lebih awal daripada waktu matahari terbenam, anggota rukyah tetap meneruskan rukyah sehingga beberapa ketika selepas matahari terbenam bagi memastikan tiada apa-apa yang boleh disamakan sebagai anak bulan.
Kaedah penentuan awal bulan hijrah yang diamalkan sekarang sudah memenuhi kehendak syarak daripada aspek pelaksanaannya. Sekalipun ada beberapa kelemahan, itu adalah kelemahan justifikasi sains disebabkan kemampuan manusia.
Rukyah sebenarnya turut dilakukan pada bulan lain namun ia tidak diisytiharkan kepada umum sebaliknya hanya untuk analisis dan pengesahan peringkat pihak berkuasa saja.
No comments:
Post a Comment