Pages

Wednesday, November 7, 2012

Ijtimak, Gerhana Matahari dan Anak Bulan

Salam.

Menjelang awal Muharram 1434 nanti, fenomena gerhana matahari dijangka akan berlaku pada awal pagi waktu Malaysia, sekitar jam 4 pagi. Fenomena ini hanya dapat disaksikan dari lokasi atau negara yang sedang atau masih mengalami siang pada ketika itu, seperti di timur Australia yang dapat menyaksikannya selepas matahari terbit. Sehari sebelum itu, selepas subuh pada 13hb Nov, dari Malaysia, kita akan dapat menyaksikan bulan fasa sabit tua terbit sebelum matahari terbit di ufuk timur. Bulan terbenam sebelum matahari terbenam pada 13hb. Bulan hanya segarisan (bumi, bulan, matahari) pada sekitar jam 6 pagi 14hb, selepas gerhana berlaku. Fenomena segarisan ini dinamakan 'ijtimak' dalam ilmu falak, iaitu detik pertukaran fasa bulan lama dengan bulan baru. Dalam astronomi ia disebut 'new moon' atau 'conjunction'.




Lihat lukisan di atas. Tidak cantik, tetapi memadailah untuk penjelasan :-) .. Baik. Orbit bulan adalah lawan jam, demikian juga putaran bumi. Kedudukan 1 adalah pada 13hb, di mana selepas subuh kita dapat melihat bulan sabit di ufuk timur. Kedudukan 2 adalah ketika ijtimak berlaku. Kebetulan kali ini ia hampir serentak dengan gerhana matahari. Justeru boleh dikatakan kali ini adalah ijtimak 'yang boleh dilihat' (di Australialah.. bukan sini).

Kedudukan 3 pula adalah ketika matahari terbenam (Maghrib) pada 14hb Nov. Ketika itu, kita berpeluang melihat anak bulan (Hilal) yang terbenam selepas matahari terbenam dengan beza masa terbenam sekitar 24 minit. Tinggi (altitud) hilal dari aras ufuk ketika itu adalah sekitar 5 darjah, ketinggian yang memenuhi syarat imkanurrukyah, menjadikan ia 'anak bulan yang boleh kelihatan selepas matahari terbenam'. Inilah faktor 1 Muharram 1434 ditetapkan pada 15hb Nov 2012.

Walaupun kita tidak berpeluang menyaksikan gerhana di sini, apa salahnya kita luangkan masa selepas subuh 13hb untuk melihat bulan sabit tua, dan anak bulan pada 14hb, di mana peluang melihatnya adalah dalam tempoh sekitar 24 minit sahaja, bermula dengan waktu maghrib di tempat anda. Bulan sabit tua dan anak bulan, tidak boleh kelihatan pada hari yang sama. Contohnya, jika bulan sabit tua dilihat pagi 13hb, tidak mungkin anak bulan juga dilihat selepas maghrib pada 13hb tersebut.

Jom rukyah!

- Posted using BlogPress from my iPad

2 comments:

zainuddinm said...

saya suka lukisan rajah conjunction tu... hehehe

Anonymous said...

Hakcipta terpelihara..haha