Monday, December 5, 2011

Gerhana

Salam.

Beberapa hari mendatang, semakin hampir kita dengan fenomena menarik bulan Muharram ini, menjelang 15 Muharram, ketibaannya bersama dengan berlakunya gerhana bulan penuh kali kedua untuk tahun ini. Musim tengkujuh di Pantai Timur mungkin tidak menjanjikan cuaca yang memberangsangkan, namun semuanya terserah kepada Yang Maha Kuasa.

Selepas solat Isyak, kira-kira jam 8.40 malam, jika Bulan kelihatan ketika itu, mata kita sudah mula perasan perbezaan sifat Bulan malam purnama, yang kelihatan pudar, dan sedikit demi sedikit bayang Bumi mula menutup permukaannya perlahan-lahan, amat perlahan.

Bagi jurufoto, inilah peluang mereka untuk mendapatkan imej terbaik dan menarik, kerana lain gerhana, lain rupanya, lain suasananya. Siapa tahu?

Bagi orang awam, inilah masanya untuk menyaksikan suatu yang jarang-jarang berlaku.

Bagi semua, inilah masanya untuk melakukan solat gerhana bulan, yang jarang sekali peluang melaksanakanya terbuka. Tahun 1432 sekali, dan 1433 sekali lagi untuk 2011.

Bagi peminat falak, apa peluangnya?

1) Menguji ketepatan waktu. Waktu piawai diukur berdasarkan posisi objek samawi. Bayang Bumi terhasil daripada posisi Matahari. Tempoh gerhana berlaku adalah kesan saiz bayang Bumi, yang juga relatif kepada jarak Bumi-Matahari. Lebih dekat, lebih besar bayangnya, lebih lama gerhana berlaku. Jarak Bulan-Bumi juga mempengaruhi tempoh ini.

2) Menguji data efemeris. Hitungan posisi Bulan dan Matahari, jarak objek samawi dan sebagainya akan terbukti kejituannya apabila berlakunya gerhana.Tahap kejituan hitungan terbukti, menjadi faktor tahap kejituan hitungan lain seperti waktu solat, anak bulan dan sebagainya.

3) Sebarang hasil daripada pemerhatian 1 dan 2 di atas, menentukan justifikasi kejituan hitungan falak itu berada pada tahap "mustahil pada adat hitungan itu silap".

4) Sebarang aspek lain yang tidak tercatat di sini, yang mungkin juga suatu aspek baharu. Siapa tahu?

Selamat mencerap!



No comments: