Pages

Sunday, January 8, 2012

Rupanya begitu...!

(Kemaskini 2014)
Tulisan berkaitan pagar makan padi adalah berpandukan ulasan DBP dan beberapa blog. Bagaimanapun, penulis berpendirian bahawa budaya sebutan menjadi tulisan, di mana tiada petunjuk bahawa penulisan terdahulu pernah menggunakan harapkan pegar, sebaliknya harapkan pagar. Justeru penggunaan harapkan pagar lebih tepat, kerana ia menggambarkan tidak logiknya (hampir mustahil) orang yang diamanahkan itu pecah amanah. Sebaliknya penggunaan harapkan pegar lebih menunjukkan bahawa tidak bijaknya mereka yang mengharapkan burung menjaga padi.  Justeru penulis menarik balik penulisan berkaitan pegar di bawah. Sekian.

-----

Saat memasuki alam persekolahan, bermacam perasaan melanda diri. Apabila dewasa, perasaan itu masih sebati di lain lokasi, lain situasi. Bekal hidup yang dikirim ibu bapa dan guru, sebenarnya itulah 'makanan penguat' diri ini kini. Jika tidak, kita tidak mengambil bekal itu sebenarnya.. entah terlupa, atau malu membawa bekal. Entahlah.

Ilmu yang diisi di dada ini, kadang kala 'berbeza' atau 'berubah' kala dewasa. Ada disebabkan faktor usia, kerana anak kecil pahamnya berbeza, lalu diisi dengan ilmu sesuai usia, kala dewasa bertambah 'isinya', 'padat' kandungannya, 'elok' kegunaannya. Justeru mereka yang ilmunya masih sama seperti zaman tadikanya, mereka 'masih anak-anak' jiwanya, ilmunya dan sudah barang tentu, kelakuan dan tertibnya.

Berubah itu juga disebabkan ilmu yang ada ketika itu hanya buku sebuah dua, berbeza dewasa dengan buku berjilid banyaknya. Saat itu ketemu jua dengan 'ilmu baharu' yang mungkin lebih baik disebut 'pemurnian ilmu' - istilah sendiri (takut salah istilah.. :-)

Contoh terdekat dalam bahasa - pepatah. DBP juga telah membincangkan ini, jadi ia isu lama, namun entah kenapa tidak sampai ke mata dan telinga ini. Lalu kutanya rakan taulan, pun sama, maklumat tidak meluas juga rupanya. Jadi kutitipkan di ruang ini, untuk perkongsian mereka yang belum terima. Kalau 'udah, takper le..'.

Harapkan pagar, pagar makan padi - biasa dengar kan? cuba dengan ejaan Jawi dahulu, tentunya di eja 'fa' yang dibaca 'pa', 'ga' dan 'ro'. Ejaan fa, ga dan ro ini boleh dibaca 'pagar' juga boleh dibaca 'pegar'. Apa beza pagar dengan pegar? Tengok kamus. Pagar - tidak perlu dijelaskan. Sudah jelas. Pegar - apa dia? Sejenis burung/ayam, burung tatera, Lophura ignita rufa nama saintifiknya. Rupanya?

burung pegar


Malah pernah dijadikan gambar untuk setem Malaysia bernilai 1 ringgit. Tentunya lebih munasabah dibaca - Harapkan pegar, pegar makan padi.

Malah ia dititipkan dalam sebuah seloka lama,


Selasih-selasih merak melayang,
     Burung pegar dalam padi;
Minta kasih abang tak sayang,
     Baru tersedar dalam hati.

Baik. Seterusnya,

melepaskan batuk di tangga - ini pun biasa juga kan? Sekali lagi ejaan Jawi, batuk dieja 'ba', 'alif', 'ta', 'wau' dan 'qof'. Ejaan dahulu mungkin mengabaikan 'alif'. Kerana tiada sebutan 'betuk'. Tanpa alif, tetap dibaca batuk. Isunya, 'batuk' atau 'batok'? Apa itu batuk? Jelas. Batok? Batok bermaksud tempurung. Batok di tangga merujuk tempurung yang dibelah dua, dipasang tangkai (juga dipanggil gelok), diletakkan dalam tempayan di tepi tangga untuk basuh kaki sebelum naik rumah. Ibarat melepaskan batok di tangga - lebih sesuai maksudnya bukan? Pakai campak aje!

batok

Jangan salahkan siapa, cuma tentu masih banyak untuk dikaji dan diutara, untuk pemurnian ilmu di kala dewasa, sebelum senja... ayuh!

Insan fakir memberi noktah.

2 comments:

penerus_langkah said...

pernah gak dengar...tp...

harapkan pagar, pagar makan padi
-pesawah berusaha utk mengelakkan padinya musnah haiwan perosak, jadi si pesawah pom memasang pagar, agar tiada yg menjenguk padinya. tetapi sayang, ribut dan angin, membuatkan pagar yg dipacak jatuh menimpa padi...harapkan pagar pagar makan padi...ceh (ini yg ambo pikir time skolah dulu, mgapa wujud peri trsebut)

Ahmad Taufan said...

harapkan pagar, pagar makan padi sebenarnya lebih logik pada akal bagi maksud di sebaliknya. Manakan mungkin menaruh harapan pada kucing untuk menjaga ikan. Demikian mana mungkin menaruh harap pada burung menjaga padi. Sedangkan peribahasa itu merujuk kepada orang yang diletak harapan dan amanah, tanpa disangka (mana mungkin pagar makan padi) telah pecah amanah. Tentang batuk dan batok mungkin ada benarnya kesan alihan jenis tulisan.