Salam.
Kali ini saya ingin berkongsi teknik yang saya gunakan untuk merakam imej Hilal/Bulan Sabit Muda. Ini penting terutama kepada rakan-rakan yang terlibat atau berminat dalam aktiviti melihat Hilal atau Bulan Sabit Muda.
(1) Hilal/Bulan sabit muda adalah objek yang mula dicerap sebelum matahari terbenam. Ketika matahari belum terbenam (atau baru saja terbenam) hilal belum dapat dilihat kerana serakan cahaya matahari yang tinggi. Cerapan awal yang dibuat adalah persediaan menunggu 'kemunculan'.
(2) Peralatan rakaman boleh saja menggunakan kamera kompak, DSLR, kamera video, malah webcam. Boleh saja menggunakan 'digital eyepiece', atau kamera/kamera video yang khusus untuk astrofotografi. Saiz lensa/teleskop yang sesuai adalah alat optikal dengan kuasa rendah atau sederhana, dengan saiz kanta/cermin utama sekitar 3-6 inci dengan jarak fokal sekitar 600mm - 1200mm. Ini termasuk juga lensa kamera sekitar 10x hingga 30x optikal, atau 200mm - 300mm dan ke atas. Cubalah. Jika kamera boleh disalurkan terus ke monitor bersaiz besar, adalah lebih baik lagi.
(3) Halakan lensa/teleskop ke arah ufuk langit (terjauh - infiniti) dan perbetulkan fokus sehingga mencapai tahap 'fokus terbaik'. Kuncikan fokus (jika boleh- contoh: menggunakan gelang getah, skru kunci dsb.)
(4) Menjelang maghrib, halakan teleskop/lensa kamera ke arah posisi hilal. Jika teleskop bukan jenis penjejak automatik (goto telescope), anda memerlukan panduan arah posisi hilal menggunakan kompas yang baik (yang boleh memberikan sudut bearing azimut dan altitud), atau jika di tempat rukyah, selalunya ada teodolit (total station). Gunakan panduan arah menggunakan teodolit tersebut. Anda masih boleh menggunakan arah secara anggaran berdasarkan kedudukan matahari, namun ia sesuai untuk lensa/teleskop berkuasa rendah sahaja disebabkan medan pandangannya yang lebih luas.
(5) Sentiasa ikuti pergerakan hilal (yang masih belum muncul) menggunakan panduan kompas/teodolit, jika tidak menggunakan teleskop penjejak auto. Semak perubahan posisi setiap 2-4 minit bagi memastikan anda menghala ke arah yang betul. Bagi anda yang menggunakan sudut secara anggaran, pastikan anda ada maklumat azimut dan altitud bulan sekurang-kurangnya setiap 5 minit. Jika menggunakan perisian astronomi (data digital) seperti dalam smartphone dll. adalah lebih baik.
(6) Rakam dan terus rakam (selain video) menurut gerak hati anda. Terpulang kepada kemampuan kamera anda untuk merakam sebanyak mana dalam tempoh sekitar setengah jam tersebut. Detik penting adalah apabila langit kelihatan sesuai untuk 'kemunculan', seperti awan berkelompok dengan banyak ruang untuk 'mencelah'. Langit kita ini memang sukar untuk cuaca baik - tiada awan. Jika dapat, Alhamdulillah. Langit akan semakin gelap selepas matahari terbenam, dan hilal/bulan sabit mungkin mula kelihatan dengan mata kasar. Teruskan.
(7) Setelah selesai (bulan terbenam/hilang dari pandangan), cerapan tersebut (jika nampak) terbahagi kepada tiga peringkat; (i) kenampakan dengan alat optikal, (ii) dengan mata kasar dan (iii) dengan pengimejan.
(8) Hasil cerapan tidak dapat dipastikan yang mana akan nampak lebih awal. Itu terpulang kepada situasi ketika itu. Pengalaman saya, pengimejan selalunya paling akhir, tetapi menariknya, selepas pemprosesan imej, ada kemungkinan yang tinggi bahawa imej tersebut telah merakam hilal/bulan sabit lebih awal dari kenampakan mata/alat.
Gambar di bawah adalah imej sebelum prosesan, imej bulan ada, tetapi skrin kamera yang kecil, menyebabkan 'tidak perasan'.
Selepas prosesan, imej bulan lebih ketara,
Gambar ini bukanlah yang terbaik. Saya pun masih belajar juga. Cuma berkongsi teknik dan mudah-mudahan anda menemukan kaedah lebih baik lagi. Jom cerap, rakam dan kongsi!
:)
No comments:
Post a Comment