Sunday, September 30, 2012

Dinamik dan Empirik

Salam.

Merujuk kamus, dinamik bermaksud bersifat cergas, bertenaga, aktif, atau "hidup". Empirik pula bermaksud berdasarkan (bergantung pada) pemerhatian atau eksperimen, bukan teori. Apa fokus saya kali ini?

Ilmu Falak merupakan ilmu mengenai objek di angkasa. Objek di angkasa seperti Bulan, Bintang dan Matahari, serta objek-objek lain, adalah objek yang sudah lama wujud, masih dan sentiasa aktif bergerak menurut sistem dan orbit masing-masing. Umum mengetahui bahawa dari masa ke semasa, dari zaman ke zaman, pemerhatian membuktikan bahawa alam semesta ini ada perubahan. Perubahan ini menyebabkan suatu data pemerhatian tahun 1800, adalah benar pada masanya, memerlukan pembetulan kecil menjelang 1900. Demikian pembetulan seterusnya menjelang tahun 2000.

Objek-objek angkasa yang menjadi bahan pemerhatian saintis adalah objek yang bersifat dinamik. Sesekali mungkin kita terbaca tentang bintang yang "mati" dan musnah, atau bintang "muda" yang baru muncul atau baru ditemui. Matahari dengan kisah 'solar minimum' dan 'solar maksimum'nya, Bulan dengan 'perigee' dan 'apogee'nya, Bumi dan Matahari dengan 'perihelion' dan 'aphelion'nya, adalah antara fenomena kecil di Sistem Suria dan alam semesta ini. Objek angkasa yang sentiasa 'hidup' ini mengalami perubahan yang diketahui melalui kajian-kajian empirik. Kajian empirik memerlukan masa yang panjang. Contohnya, kajian tentang orbit Bumi sahaja sudah tentu memerlukan masa lebih dari satu tahun untuk mengumpul data, kerana satu tahun bermaksud hanya satu kali orbit sahaja. Sudah tentu satu tahun/satu kali orbit tidak mewajarkan rumusan tepat tentang orbit Bumi. Dua tahun? Tiga tahun? 5? 10? Tengoklah.

Tempoh inilah menjadikan catatan atau hasil kajian terdahulu amat penting kepada pengkaji seterusnya. Menggunakan data cerapan sendiri tentulah tidak mencukupi, apalagi berkaitan sistem pada skala yang lebih besar, seperti Matahari dan objek luar Sistem Suria. Kajian empirik ini telah menjadikan Ilmu Falak bertambah maju di mana tahap 'error' hitungan yang besar pada masa dahulu telah berjaya dikecilkan sehingga ke 1/100 saat.

Inilah faktor atau indikasi kenapa Ilmu Falak pada peringkat awal kedatangan Islam dengan Ilmu Falak hari ini perlu dilihat pada sudut yang sama dengan cara kita melihat contohnya kenderaan hari ini, sistem kehidupan, kemudahan, peralatan dan sebagainya dan hubungkaitnya dengan ibadat dan muamalat harian.

Fokus saya, terdapat pandangan atau hukum berkaitan Ilmu Falak oleh ulama silam, berbeza dengan pandangan dan hukum berkaitan oleh ulama masa kini (rujuk di sini). Ia bukan perubahan hukum, tetapi perubahan empirik Ilmu Falak yang memerlukan analisis hukum hakam berkaitan secara berbeza. Justeru, menggunakan pandangan ulama silam terhadap Ilmu Falak zaman kini adalah tidak sesuai. Ia adalah benar pada masa itu, bukan masa kini.

Sesuatu yang dinamik dan empirik, memerlukan pemerhatian dan kajian yang juga dinamik dan empirik, dan hukum hakam berkaitan juga adalah bersifat dinamik dan empirik. Jika tidak, kita mungkin mengulangi khilaf sama yang dilakukan sebahagian ulama Arab Saudi tahun 1920an, apabila mengharamkan penggunaan telegraf dan telefon kerana sistem tersebut dirumuskan sebagai menggunakan sihir dan jin (rujuk di sini).


Al-faqir ila- Allah.





2 comments:

Anonymous said...

Mohon saudara dapat menatapkan tulisan tentang kaedah penentuan hari raya haji di Malaysia dan isu-isu sekitarnya...

Terima kasih

ATR said...

Insya Allah. Terima kasih atas kesudian membaca.