Thursday, August 16, 2012

Jangan sesekali lupa

Salam.

Kisah Palestin masih berterusan hingga hari ini. Kisah Rohingya tidak terkecuali. Bak kata seorang wartawan, selepas 30 tahun beliau menulis kisah mereka, mereka masih begitu hari ini.

Mengenai isu berkaitan pencerobohan dan penafian hak ini, Al-Qardhawi (1999) dalam Muhammad Zaidi & Raja Hisyamudin (2008) menyebut;

Perumpamaan orang Yahudi boleh diibaratkan seperti seseorang yang merampas rumah. Orang itu mengusir penghuninya dengan kekuatan dan senjata. Orang yang terusir terus memeranginya, cuba membunuhnya dan dia pun memerangi dan membunuh mereka. Tujuannya berbuat demikian bagi menghalang hasrat orang yang terusir dari mengambil kembali rumah yang dia rampas. Kemudian setelah sekian lama berjalan pengusir berkata kepada tuan rumah asal "mari kita duduk bersama. Saya akan berdamai dengan kamu. Saya akan berikan satu ruangan besar bagi kamu (yang sebenarnya salah satu bahagian dari rumah yang diusir sendiri) - dengan syarat berdamai dengan saya (pengusir)- tidak memerangi saya dan mengganggu ketenteraman saya. Saya akan tinggalkan sebahagian tanah sebagai imbalan perdamaian yang kamu berikan kepada kami (pengusir)".

(Apabila kamu telah mengetahui bahawa orang-orang kafir itu dihampakan amalnya dan diseksa oleh Allah) maka janganlah kamu (wahai orang-orang yang beriman) merasa lemah dan mengajak (musuh yang menceroboh) untuk berdamai, padahal kamulah orang-orang yang tertinggi keadaannya, lagi pula Allah bersama-sama kamu (untuk membela kamu mencapai kemenangan), dan Ia tidak sekali-kali akan mengurangi (pahala) amal-amal kamu. - Muhammad: 35

Sesungguhnya apa yang dimaksudkan dengan gencatan senjata itu berlaku pemberhentian perang. Namun apakah yang terjadi dengan orang Yahudi itu hanya sebatas gencatan senjata, di mana perang dihentikan dan manusia saling tidak menyerang? Sesungguhnya yang terjadi di antara orang Yahudi dengan Muslimin Palestin bukan hanya sekadar isu pemberhentian perang, tetapi ada sesuatu yang jauh lebih besar dari itu dan jauh lebih berbahaya iaitu pengakuan terhadap orang Yahudi, bahawa bumi yang mereka rampas dengan besi dan api dan mereka yang telah mengusir warga Palestin berjuta-juta orang. Lalu mereka menganggap Haifa, Ramallah, Bi'r Al-Sab'u bahkan Al-Quds sendiri sebagai tanah milik Israel dan pengakuan bahawa negeri Islam yang selama lebih 13 abad berada di tangan orang Muslimin kini menjadi negara Yahudi Israel. Sedangkan mereka tidak menganggap kita memiliki hak untuk itu, bahkan hanya sekadar hak untuk menuntut tanah itu dari tangan mereka. Ini semua bererti bahawa sesuatu yang dirampas dengan senjata dan kekuatan adalah tindakan yang sah secara undang-undang jika perdamaian dilakukan.

Sekalipun kita mungkin (atau memang) tidak mampu untuk pergi lebih jauh, sekurang-kurangnya tidak lupa isu sebenar seperti dibincangkan, supaya suatu hari nanti, kita tidak melakukan kesilapan dengan menjadi orang yang menerima bahawa "sesuatu yang dirampas dengan senjata dan kekuatan adalah tindakan yang sah secara undang-undang jika perdamaian dilakukan".

Allahumma.. berilah kekuatan.

Yang daif menekan noktah.

------------------
Muhammad Zaidi Abdul Rahman & Raja Hisyamudin Raja Sulong (2008). Pengaruh Perubahan Dalam Pembinaan Hukum Siyasah Syar'iyyah. Jurnal Syariah Jilid 16 Bil. 1 (2008). UM









No comments: