Saturday, August 18, 2012

Rukyah lagi...

Salam.

1. Isu rukyah adalah isu yang tidak akan tamat, melihat kondisi hari ini. Maklumat diperolehi melalui sumber yang berbagai-bagai dengan pelbagai status. Seperti yang saya tegaskan sebelum ini, pastikan ada ilmu tentang sesuatu itu sebelum menilai dan menjatuhkan hukum, atau kita akan menghukum dengan kaifiyat dan dalil yang khilaf.

2. Rukyah (observation) masih dilakukan hingga hari ini adalah langkah yang betul. Sekalipun ada hisab qat'ie yang diakui benar dengan ralat pada kadar melebihi 0.0001 arka saat, ia adalah sumber hitungan yang dihasilkan oleh pihak ketiga (ahli falak, dalam negara/luar negara). Alam semesta adalah berubah dalam skala yang kecil, termasuk Bumi, Bulan dan Matahari. Pembetulan hitungan sentiasa ada seperti penambahan 3 saat kepada waktu dunia sejak 1970 hingga 2012, sebagai 1 contoh.

3. Pihak berkuasa sebagai pihak pertama dalam penentuan tarikh hijriyah, tentunya boleh menggunakan sumber pihak ketiga yang qat'ie. Ini dilakukan dalam penyusunan takwim rasmi tahunan. Manakala tarikh perayaan, ia melibatkan pelbagai aspek yang amat sensitif. Tiada siapa peduli Safar dan Rabiulakhir, tetapi tidak Ramadhan.

4. Pelaksanaan rukyah akan menjaga 2 kepentingan, pertama, dengan merukyah, bermakna pihak berkuasa telah melakukan kajian/pemerhatian sendiri untuk menentukan tarikh. Tindakan ini boleh dianggap sebagai menjaga hukum, dengan melakukan pengesahan terhadap hitungan yang dihasilkan oleh pihak ketiga. Kedua, menjaga kesinambungan ilmu. Meneruskan rukyah bermakna memastikan ada rekod observasi terhadap hitungan awal. Rekod ini berguna untuk hitungan dan observasi akan datang, sebagaimana kita menggunakan rekod observasi puluhan tahun terdahulu sebagai bahan rujukan dan analisis bagi meningkatkan kejituan hitungan masa kini. Ini maksudnya meninggalkan rukyah (observation) adalah tidak bijak untuk jangka panjang.



Fahami tradisi ilmu, atau kita akan kekal sebagai 'end user'. Almarhum Syeikh Tahir pernah menempelak umat Islam tentang ini dalam buku kecil 'Natijatul Umur' (1936) mengenai peristiwa isyarat letup meriam tanda jam 12 di Singapura telah dilewatkan 20 minit oleh British, dan orang Islam masih tidak sedar hampir atau lebih setahun!

Hari ini pun, kita tidak tahu masuknya waktu solat kalau tidak ada jam, masjid, TV atau takwim. Itu belum bab arah kiblat.

Belajar berilmu.

- Posted using BlogPress from my iPad

No comments: