- Menurut amalan di Malaysia, penyaksian kenampakan Anak Bulan pada hari rukyah rasmi dilakukan, hanya diterima di lokasi rasmi, dan oleh anggota rasmi. Penyaksian pula hendaklah sekurang-kurangnya dua orang atau tiga orang, bergantung kepada pihak berkuasa. Kenampakan yang tidak memenuhi justifikasi tersebut, masih boleh diterima sebagai rekod kajian pihak berkaitan.
- Kaedah penyaksian pula pada pandangan penulis, tidaklah seperti di mahkamah yang melibatkan aspek 'bayyinah', 'syahadah' dan 'qarinah', walaupun sejujurnya penulis mengharapkan begitu, kerana isu awal bulan adalah isu besar. Perkara ini mungkin tidak ketara disebabkan rukyah yang dilakukan (oleh pihak berkuasa sebagai pihak pertama) hari ini masih seiring (muafiq) dengan hitungan hisab (yang dibuat oleh pihak ketiga). Laporan yang tidak seiring hanya wujud dari pihak-pihak atau kumpulan minoriti yang tidak bersetuju dengan dasar sedia ada, dan melakukan rukyah sendiri.
- Menggunakan bayyinah, syahadah dan qarinah dalam kaedah penyaksian Anak Bulan mungkin boleh dibuat perbandingan, atau contoh seperti berikut;
Bayyinah : Seorang atau lebih, mengemukakan keterangan mengenai Anak Bulan yang dilihat, rupa, bentuk, warna, kedudukan, waktu dan sebagainya.- Bayyinah dengan Syahadah : Seorang atau lebih, membuat pengakuan telah menyaksikan Anak Bulan dengan mengemukakan keterangan mengenai Anak Bulan yang dilihat, rupa, bentuk, warna, kedudukan, waktu dan sebagainya.
- Bayyinah dengan Qarinah : Menurut Hisab qat'ie (hitungan yang diterima sebagai jitu dan benar) Anak Bulan pada waktu tersebut boleh dilihat jika tidak terlindung awan. Keterangan dan lakaran oleh saksi adalah seiring (tidak bersalahan) dengan Hisab qat'ie.
- Menggunakan kaedah sama, untuk situasi berbeza;
Bayyinah : Seorang atau lebih, mengemukakan keterangan mengenai Anak Bulan yang dilihat, rupa, bentuk, warna, kedudukan, waktu dan sebagainya.- Bayyinah dengan Syahadah : Seorang atau lebih, membuat pengakuan telah menyaksikan Anak Bulan dengan mengemukakan keterangan mengenai Anak Bulan yang dilihat, rupa, bentuk, warna, kedudukan, waktu dan sebagainya.
- Bayyinah dengan Qarinah : Menurut Hisab qat'ie (hitungan yang diterima sebagai jitu dan benar) Anak Bulan pada waktu tersebut TIDAK BOLEH DILIHAT KERANA BULAN DAN MATAHARI TERBENAM HAMPIR SERENTAK. Keterangan dan lakaran oleh saksi adalah TIDAK SEIRING (bersalahan) dengan Hisab qat'ie. Ini dibuktikan dengan kedudukan Bulan pada hari berikutnya tidak munasabah secara saintifik, jika kedudukan hari sebelumnya (hari didakwa kelihatan) diterima.
- Fokus penulisan kali ini adalah untuk menjelaskan kepada pembaca, bahawa aspek sebenar permasalahan yang berlaku hari ini, bukan disebabkan oleh hukum mengenai rukyah, juga bukan kerana kaedah hitungan hisab, juga bukan masalah Ilmu Falak, bahkan masalah sebenar adalah 'kesilapan manusia dalam memastikan apakah yang dilihat itu benar Anak Bulan, atau objek yang dikelirukan sebagai Anak Bulan'.
- Jika aspek 'khilaf manusia' ini diterima sebagai masalah utama, maka apakah langkah wajar untuk menanganinya? Sama-samalah kita fikirkan dan zahirkan sebagai tindakan. Insya Allah. Amin.
Yang daif menekan noktah.
No comments:
Post a Comment