Salam. (tulisan ini dikemaskini semula pada 2 Sep 2012 kerana ada ralat)
Saya percaya pembaca telah faham tentang bayyinah, syahadah dan qarinah dalam penyaksian seperti yang telah dibincangkan sebelum ini.
Seterusnya saya cuba hubungkan aspek tersebut dengan Rukyah dan Hisab yang diamalkan di Malaysia. Pihak pertama iaitu pihak berkuasa yang bertanggungjawab (JAKIM) telah menggunakan maklumat pihak ketiga (formula hitungan objek langit yang dihasilkan oleh ahli falak dalam/luar negara yang diterima sebagai jitu dan benar) untuk menyusun Takwim Hijrah. Kaedah yang digunapakai (pada pandangan saya) adalah "suatu bulan hijriyah itu menjadi 29 hari jika Anak Bulan disifatkan wujud apabila hitungan (pre-calculation data) menunjukkan ia boleh dilihat dalam keadaan cuaca baik selepas Matahari terbenam pada hari ke 29. Jika sebaliknya, bulan itu menjadi 30 hari".
Merujuk kaedah di atas, penetapan tersebut mungkin boleh dilihat juga pada aspek bayyinah, syahadah dan qarinah. Memandangkan takwim perlu disusun sebelum suatu tahun itu bermula, maka penyaksian yang boleh digunakan hanyalah bayyinah dengan qarinah sahaja. Menggunakan bayyinah dengan qarinah, dalam hal ini 'maklumat hitungan/hisab' (pre-calculation data), pihak berkuasa menyusun takwim tahunan, sebelum tahun itu bermula.
Apabila takwim tahunan telah disusun, tidak bermaksud pihak berkuasa meninggalkan aspek bayyinah dengan syahadah (rukyah). Setiap bulan pihak bertanggungjawab (dalam hal ini - JAKIM dan Jabatan-Jabatan Mufti Negeri) melakukan rukyah termasuk rukyah rasmi (dengan perisytiharan) untuk memenuhi aspek bayyinah dengan syahadah ini. Apabila tiada khilaf, maka takwim yang telah disusun menggunakan bayyinah dengan qarinah disahkan benar.
Soalan 1: Jika ada khilaf? Jika ada khilaf, salah satu antara rukyah atau hitungan ada silap (error). Jika hitungan dibuktikan benar (banyak cara membuktikan hitungan itu benar dan jitu) maka rukyah yang dilakukan ada silap (kurang ilmu, kurang kemahiran, kondisi peralatan dan sebagainya).
Soalan 2: Syarat kenampakan yang digunakan terlalu minimum. Sukar untuk rukyah seiring dengan hitungan pada keadaan minimum. Bolehkah syarat itu diterima sebagai benar? Atau syahadah boleh membatalkan qarinah ketika itu? Dalam hal ini nampak ada benarnya soalan ini. Jawapannya agak panjang. Begini.
Dalam penentuan awal bulan, ada dua pendapat muktabar. Satu mengharuskan (tidak wajib) ikut kenampakan negeri lain (As-Syafi'iyyah). Satu lagi mewajibkan ikut. Sebelum lebih jauh, suka saya ingatkan bahawa kenampakan itu ada dua - (1) nampak yang benar, dan (2) nampak yang keliru (silap nampak) - dan kedua-duanya boleh dibuktikan secara sains. Baik. Penggunaan syarat minimum Malaysia, digunapakai di paling barat Pulau Langkawi. Jika Malaysia menggunakan kaedah matla', sepatutnya zon rujukan negara perlu lebih ke barat dari Langkawi. Dalam sistem putaran bumi dan orbit, lebih ke barat lebih lambat terbenam Matahari, lebih ke barat lebih besar umur Bulan, lebih ke barat lebih besar peluang nampak Anak Bulan.
Justeru, dalam hal ini, soal syarat minimum di Langkawi, boleh diihtimal (dianggap) sebagai menggunakan syarat yang lebih tinggi di zon lebih barat dari Langkawi. Jika menganggap Mekah sebagai rujukan, ketika Anak Bulan memenuhi syarat minimum di Langkawi iaitu 2°, ketika Maghrib di Mekah, tinggi Anak Bulan 'boleh' mencapai 4.5°, ketinggian yang membolehkan ia benar boleh dilihat. Jika umurnya 8 jam ketika Maghrib di Langkawi, ia sudah berumur 13 jam ketika Maghrib di Mekah. Berdasarkan ini, penggunaan syarat minimum di Langkawi tidak boleh terus dianggap menyalahi syarak.
Soalan 3: Jika begitu, kenapa Malaysia berbeza dengan Mekah pula? Benar. Bagaimana pula boleh jadi demikian? Disinilah soal bayyinah, syahadah dan qarinah memainkan peranan. Kajian menunjukkan bahawa dalam banyak keadaan, bayyinah dengan syahadah di Arab Saudi telah diterima bulat-bulat dan membatalkan takwim yang disusun lebih awal menggunakan bayyinah dengan qarinah. Sama seperti yang berlaku di Selatan Thai. Berlaku kenampakan, dan diterima persaksian, walaupun ia tidak boleh dibuktikan dari segi sains falak. Tiada masalah dari aspek sah atau tidak puasa dan haji kerana masalah ini adalah masalah ijtihad (rujuk Al-Qardhawi). Merujuk kaedah di atas, Malaysia kelihatan menggunakan semua kaedah yang ada, rukyah untuk bayyinah dengan syahadah, dan hisab (bayyinah dengan qarinah) dalam menyusun takwim dan mengesahkan kenampakan (syahadah).
Soalan 4: Apa buktinya kenampakan yang keliru, atau silap nampak? Perhatikan setiap hari kedudukan Bulan. Anda akan dapati ia berubah kedudukan harian secara seragam, sekitar 13° sehari (24 jam) berbanding kedudukan Matahari. Jika Anak Bulan didakwa nampak petang ini pada ketinggian 5°, petang esok (selepas 24 jam) sepatutnya ia berada pada ketinggian sekitar 18°. Selepas 48 jam, tingginya sudah sekitar 30°. Banyak kes dakwaan kenampakan, selepas 24 jam kenampakan, Bulan berada pada ketinggian kurang 13°. Dari segi sains (pada adatnya) dakwaan kenampakan berlaku ketika Bulan berada di bawah ufuk - suatu yang mustahil menurut sains. Ini belum soal lakaran, bentuk, rupa dll. yang tidak munasabah.
Belajar berilmu.
Yang daif menekan noktah.
No comments:
Post a Comment