Sunday, September 30, 2012

Dinamik dan Empirik

Salam.

Merujuk kamus, dinamik bermaksud bersifat cergas, bertenaga, aktif, atau "hidup". Empirik pula bermaksud berdasarkan (bergantung pada) pemerhatian atau eksperimen, bukan teori. Apa fokus saya kali ini?

Ilmu Falak merupakan ilmu mengenai objek di angkasa. Objek di angkasa seperti Bulan, Bintang dan Matahari, serta objek-objek lain, adalah objek yang sudah lama wujud, masih dan sentiasa aktif bergerak menurut sistem dan orbit masing-masing. Umum mengetahui bahawa dari masa ke semasa, dari zaman ke zaman, pemerhatian membuktikan bahawa alam semesta ini ada perubahan. Perubahan ini menyebabkan suatu data pemerhatian tahun 1800, adalah benar pada masanya, memerlukan pembetulan kecil menjelang 1900. Demikian pembetulan seterusnya menjelang tahun 2000.

Objek-objek angkasa yang menjadi bahan pemerhatian saintis adalah objek yang bersifat dinamik. Sesekali mungkin kita terbaca tentang bintang yang "mati" dan musnah, atau bintang "muda" yang baru muncul atau baru ditemui. Matahari dengan kisah 'solar minimum' dan 'solar maksimum'nya, Bulan dengan 'perigee' dan 'apogee'nya, Bumi dan Matahari dengan 'perihelion' dan 'aphelion'nya, adalah antara fenomena kecil di Sistem Suria dan alam semesta ini. Objek angkasa yang sentiasa 'hidup' ini mengalami perubahan yang diketahui melalui kajian-kajian empirik. Kajian empirik memerlukan masa yang panjang. Contohnya, kajian tentang orbit Bumi sahaja sudah tentu memerlukan masa lebih dari satu tahun untuk mengumpul data, kerana satu tahun bermaksud hanya satu kali orbit sahaja. Sudah tentu satu tahun/satu kali orbit tidak mewajarkan rumusan tepat tentang orbit Bumi. Dua tahun? Tiga tahun? 5? 10? Tengoklah.

Tempoh inilah menjadikan catatan atau hasil kajian terdahulu amat penting kepada pengkaji seterusnya. Menggunakan data cerapan sendiri tentulah tidak mencukupi, apalagi berkaitan sistem pada skala yang lebih besar, seperti Matahari dan objek luar Sistem Suria. Kajian empirik ini telah menjadikan Ilmu Falak bertambah maju di mana tahap 'error' hitungan yang besar pada masa dahulu telah berjaya dikecilkan sehingga ke 1/100 saat.

Inilah faktor atau indikasi kenapa Ilmu Falak pada peringkat awal kedatangan Islam dengan Ilmu Falak hari ini perlu dilihat pada sudut yang sama dengan cara kita melihat contohnya kenderaan hari ini, sistem kehidupan, kemudahan, peralatan dan sebagainya dan hubungkaitnya dengan ibadat dan muamalat harian.

Fokus saya, terdapat pandangan atau hukum berkaitan Ilmu Falak oleh ulama silam, berbeza dengan pandangan dan hukum berkaitan oleh ulama masa kini (rujuk di sini). Ia bukan perubahan hukum, tetapi perubahan empirik Ilmu Falak yang memerlukan analisis hukum hakam berkaitan secara berbeza. Justeru, menggunakan pandangan ulama silam terhadap Ilmu Falak zaman kini adalah tidak sesuai. Ia adalah benar pada masa itu, bukan masa kini.

Sesuatu yang dinamik dan empirik, memerlukan pemerhatian dan kajian yang juga dinamik dan empirik, dan hukum hakam berkaitan juga adalah bersifat dinamik dan empirik. Jika tidak, kita mungkin mengulangi khilaf sama yang dilakukan sebahagian ulama Arab Saudi tahun 1920an, apabila mengharamkan penggunaan telegraf dan telefon kerana sistem tersebut dirumuskan sebagai menggunakan sihir dan jin (rujuk di sini).


Al-faqir ila- Allah.





Monday, September 24, 2012

Terengganuku

Salam.

Jom santai di Terengganu. Sebelum tu belajar sedikit 'slang' Terengganu.

Istilah = cara sebut = maksud

Biasa dengar orang Terengganu sebut 'sedikit'? Fahami perbezaannya.. :-)

Sikit = see Kate = sedikit
Sikit = see kit = sedikit sahaja
Sikit = skeet = amat sedikit, (skeet sangat) terlalu amat sedikit, sedikit sangat

Kata 'gaduh' juga berbeza maksud,

Jangan gaduh atau 'ggaduh' = jangan terburu-buru, jangan kelam kabut. Juga digunakan untuk jangan bergaduh. Tetapi bergaduh lebih banyak menggunakan perkataan 'ggocoh' dan 'ggomo'. Sesekali digunakan 'belawang'. Tapi belawang biasanya dalam permainan, bukan bertumbuk/bergaduh.

Jom keropok! :-)

- Posted using BlogPress from my iPad

Tuesday, September 18, 2012

Merakam Imej Bulan Menggunakan DSLR

Salam.

Sekali lagi tentang merakam imej bulan. Kali ini fokus kepada DSLR. Sekali lagi saya nyatakan, kaedah yang akan saya kongsikan adalah pengalaman saya sendiri. Ia mungkin bukan kaedah terbaik, justeru jika anda sudi kongsikan di sini kaedah lebih baik, saya amat hargainya.

Saya menggunakan Tamron 70-300, merupakan lensa mampu milik buat masa ini. Menggunakan teleskop atau menggunakan lensa ini, tidak jauh beza. Teleskop saya f/13 fixed. Untuk merakam imej bulan dengan baik, gunakan shutter release, dan saya perlu tinggikan kadar ISO sekitar 400 hingga 1600. Imej pada 1600 agak 'kasar' berbanding 400. Pernah mencuba pada 100, tetapi 'sharpness' bulan berkurang. Nampaknya masih perlukan 'shutter speed' lebih pantas untuk imej lebih tajam. Mungkin getaran teleskop masih ada dan mempengaruhi. Untuk tingkatkan shutter speed pada f/13, kena tinggikan ISO.

Menggunakan lensa dan tripod kamera, kadar f/4 hingga 6, shutter speed lebih pantas, tetapi imej kurang tajam. Menggunakan f/8 hingga 10 nampak lebih sesuai. Cuma tingkatkan sedikit ISO untuk tingkatkan shutter speed. Bulan sebenarnya bergerak pantas, jadi rakam sepantas mungkin dengan tahap f antara 8-10 untuk ketajaman imej.

Untuk merakam kesan earthshine, dedahan lebih lama diperlukan, tetapi bulan akan kabur sebab ada gerakan. Cara lebih baik adalah lajukan shutter speed, tetapi tingkatkan ISO supaya lebih sensitif dan sempat merakam kesan earthshine. Pedulikan tentang noise (hingar). Melainkan anda menggunakan tripod jenis penjejak auto.

Agak-agak membantu tidak? Harapnya ya. :-)

Yang daif memohon tunjuk ajar.


- Posted using BlogPress from my iPad

Merakam Imej Hilal/Bulan Sabit Muda

Salam.

Kali ini saya ingin berkongsi teknik yang saya gunakan untuk merakam imej Hilal/Bulan Sabit Muda. Ini penting terutama kepada rakan-rakan yang terlibat atau berminat dalam aktiviti melihat Hilal atau Bulan Sabit Muda.

(1) Hilal/Bulan sabit muda adalah objek yang mula dicerap sebelum matahari terbenam. Ketika matahari belum terbenam (atau baru saja terbenam) hilal belum dapat dilihat kerana serakan cahaya matahari yang tinggi. Cerapan awal yang dibuat adalah persediaan menunggu 'kemunculan'.


(2) Peralatan rakaman boleh saja menggunakan kamera kompak, DSLR, kamera video, malah webcam. Boleh saja menggunakan 'digital eyepiece', atau kamera/kamera video yang khusus untuk astrofotografi. Saiz lensa/teleskop yang sesuai adalah alat optikal dengan kuasa rendah atau sederhana, dengan saiz kanta/cermin utama sekitar 3-6 inci dengan jarak fokal sekitar 600mm - 1200mm. Ini termasuk juga lensa kamera sekitar 10x hingga 30x optikal, atau 200mm - 300mm dan ke atas. Cubalah. Jika kamera boleh disalurkan terus ke monitor bersaiz besar, adalah lebih baik lagi.

(3) Halakan lensa/teleskop ke arah ufuk langit (terjauh - infiniti) dan perbetulkan fokus sehingga mencapai tahap 'fokus terbaik'. Kuncikan fokus (jika boleh- contoh: menggunakan gelang getah, skru kunci dsb.)

(4) Menjelang maghrib, halakan teleskop/lensa kamera ke arah posisi hilal. Jika teleskop bukan jenis penjejak automatik (goto telescope), anda memerlukan panduan arah posisi hilal menggunakan kompas yang baik (yang boleh memberikan sudut bearing azimut dan altitud), atau jika di tempat rukyah, selalunya ada teodolit (total station). Gunakan panduan arah menggunakan teodolit tersebut. Anda masih boleh menggunakan arah secara anggaran berdasarkan kedudukan matahari, namun ia sesuai untuk lensa/teleskop berkuasa rendah sahaja disebabkan medan pandangannya yang lebih luas.

(5) Sentiasa ikuti pergerakan hilal (yang masih belum muncul) menggunakan panduan kompas/teodolit, jika tidak menggunakan teleskop penjejak auto. Semak perubahan posisi setiap 2-4 minit bagi memastikan anda menghala ke arah yang betul. Bagi anda yang menggunakan sudut secara anggaran, pastikan anda ada maklumat azimut dan altitud bulan sekurang-kurangnya setiap 5 minit. Jika menggunakan perisian astronomi (data digital) seperti dalam smartphone dll. adalah lebih baik.

(6) Rakam dan terus rakam (selain video) menurut gerak hati anda. Terpulang kepada kemampuan kamera anda untuk merakam sebanyak mana dalam tempoh sekitar setengah jam tersebut. Detik penting adalah apabila langit kelihatan sesuai untuk 'kemunculan', seperti awan berkelompok dengan banyak ruang untuk 'mencelah'. Langit kita ini memang sukar untuk cuaca baik - tiada awan. Jika dapat, Alhamdulillah. Langit akan semakin gelap selepas matahari terbenam, dan hilal/bulan sabit mungkin mula kelihatan dengan mata kasar. Teruskan.

(7) Setelah selesai (bulan terbenam/hilang dari pandangan), cerapan tersebut (jika nampak) terbahagi kepada tiga peringkat; (i) kenampakan dengan alat optikal, (ii) dengan mata kasar dan (iii) dengan pengimejan.

(8) Hasil cerapan tidak dapat dipastikan yang mana akan nampak lebih awal. Itu terpulang kepada situasi ketika itu. Pengalaman saya, pengimejan selalunya paling akhir, tetapi menariknya, selepas pemprosesan imej, ada kemungkinan yang tinggi bahawa imej tersebut telah merakam hilal/bulan sabit lebih awal dari kenampakan mata/alat.

Gambar di bawah adalah imej sebelum prosesan, imej bulan ada, tetapi skrin kamera yang kecil, menyebabkan 'tidak perasan'.
Selepas prosesan, imej bulan lebih ketara,
Gambar ini bukanlah yang terbaik. Saya pun masih belajar juga. Cuma berkongsi teknik dan mudah-mudahan anda menemukan kaedah lebih baik lagi. Jom cerap, rakam dan kongsi!

:)

Saturday, September 15, 2012

Mencerap Bulan Sabit Tua

Salam.

Antara aktiviti Unit Falak adalah melakukan cerapan bulan fasa sabit tua. Tumpuan adalah pada selepas subuh apabila umur bulan adalah sekitar 30 ke 15 jam SEBELUM ijtimak berlaku. Sifat bulan sabit tua ini yang terbit SEBELUM matahari terbit, adalah hampir dengan sifat anak bulan (selepas ijtimak) yang terbenam SELEPAS matahari terbenam. Anak bulan, yang hanya wujud 12 kali setahun, mencerap bulan sabit fasa tua memberi peluang cerapan bulan sabit 'halus' hampir 24 kali sebulan.

Selain itu, cerapan bulan sabit tua boleh membantu justifikasi cerapan anak bulan, kerana antara faktor penting adalah masih tiada bukti bulan sabit tua dan anak bulan dapat dicerap pada hari yang sama secara visual biasa atau melalui alat optikal. Justeru, JIKA bulan sabit tua dapat dicerap atau dilihat pagi tadi, maka menurut sains, mustahil untuk petang ini anak bulan boleh dilihat.

Rekod terhampir setakat ini adalah perbezaan satu hari. Bulan sabit tua dilihat pagi semalam, dan anak bulan dilihat petang ini, di mana tempohnya melebihi 30 jam.

Jom mencerap.




- Posted using BlogPress from my iPad

Thursday, September 13, 2012

Kenapa Ipad?

Kenapa Ipad? Sejak 2 tahun yang lalu, saya telah menggunakan ipad versi 1 32gb 3G. Ia membolehkan saya mencapai internet di mana jua. Berbanding laptop yang baterinya hanya tahan 2-3 jam sebelum mencari soket kuasa, ipad terus boleh digunakan sehingga hampir 10 jam secara berterusan.

Saya berpengalaman mengajar atau 'present' di hadapan kelas atau dewan. Subjek falak pula selalunya memerlukan masa beberapa slot sehari, pagi, petang, malah malam. Laptop memerlukan saya menggunakannya dengan sambungan kuasa letrik, tetapi ipad membebaskan saya darinya, terus menggunakannya hingga slot malam. Caj hanya di malam hari, selepas selesai urusan.

Satu lagi kelebihannya adalah penggunaan projektor, 'sedikit' memendekkan tempoh bateri, tetapi bila disambung, terus keluar di projektor, tanpa banyak kerenah pelbagai butang dan 'delay' untuk sambungan projektor. Menjimatkan masa. Ini termasuk sifat ipad yang hanya 'sleep', tekan butang, dan terus 'jalan'.

Diakui penggunaan lebih lama menyebabkan ia panas, agak panas macam air suam, mungkin disebabkan 'processor' yang aktif, kerana ia ketara ketika penggunaan tinggi seperti permainan dan layaran internet 3G. Ketika lain, seperti sedang menaip ini, suhu panasnya tidak ketara.

Kerja falak pula, menggunakan GPS dan perisian astronomi, saya seronok dengan Redshift yang ketika itu saya beli dengan harga 3 dolar sahaja. Banyak membantu kerja 'segera' berkaitan maklumat falak dan internet.

Menggunakan ipad versi 3, membuatkan saya tidak lagi bergantung kepada laptop untuk proses imej yang dirakam DSLR saya. Pindahkan imej, proses, dan 'post' ke internet.

Ia sesuai dengan saya dan kerja saya. Anda bagaimana?

- Posted using BlogPress from my iPad

Monday, September 10, 2012

Tamron dan barlow

Salam.
Berkongsi sedikit. Dalam berkira-kira nak upgrade lensa Tamron 70-300 (normal/macro), sama ada dapatkan lensa baru, atau beli extender. Untuk teleskop Celestron 90 saya sudah ada barlow 2x. Semasa membelek lensa Tamron, saya 'unscrew' kanta barlow, dan cuba masukkan ke Tamron. Tekan sikit, dan lekat. Ops! Bolehke? Cuba pasang pada kamera, dan.. Whoaa... Tak payah upgrade lah buat sementara waktu, dan tak perlu extender. Mungkin tidak sebagus upgrade, dan tidak sebaik extender, tapi ok la kan?





Gambar 1: tanpa dan dengan barlow



Gambar 2: imej Bulan tanpa barlow




Selepas proses, ini imejnya, gambar 2a,




Gambar 3: imej Bulan dengan barlow 2x




Selepas proses, gambar 3a,




Apa bezanya? Bila crop, detailnya lebih baik untuk imej 3a. Penggunaan barlow membantu semasa fokus berbanding tanpa barlow, yang saiz Bulan lebih kecil.

Upgrade boleh tangguh. Extender RM7++, lensa baru, RM2+++.

barlow? RM 60 jer.

Ok la kan?

- Posted using BlogPress from my iPad

Takwim Hijrah

Salam.

Umum bersetuju dengan cadangan menjadikan Takwim Hijrah sebagai takwim utama. Justeru, Takwim Hijrah mesti mempunyai sifat berikut:

  1. Dicetak dan diedarkan sebelum suatu tahun itu bermula.
  2. Tarikh paparan benar sehingga tahun itu berakhir.
  3. Takwim Hijrah itu juga mesti memenuhi aspek ini; "memandangkan esok adalah 1 Syawal, pekerja diberi pelepasan kerja selepas jam 12 tengahari hari ini. Kerja akan dimulakan semula 8 pagi 3 Syawal."
Umat Islam rata-rata mahu Takwim Hijrah diutamakan. Tetapi aspek (2) dan (3) kelihatan seperti tidak dapat dipenuhi. Jika ianya berterusan begitu, sememangnya kita sendiri yang mahu mengekalkannya begitu, sebagai takwim kelas kedua. Syeikh Yusof Al-Qardhawi mengatakan ini masalah ijtihad, dan setiap pilihan hukum itu ada sandarannya. Pilihan di tangan kita.

Belajar berilmu.

yg daif menekan noktah.

Sunday, September 9, 2012

The Noisy Sky

The Noisy Sky adalah istilah saya bagi siri gambar langit yang menceritakan tentang langit yang "hingar". Hingar dengan objek yang banyak, atau gambar itu sendiri yang banyak hingar. Cara mudah mempersembahkannya adalah dengan mengekalkan 'hingar' itu dalam gambar.

Part I




Part II



Part III



الله أكبر ولله الحمد

- Posted using BlogPress from my iPad

Saturday, September 1, 2012

Dari, Daripada, Baru dan Baharu

Salam.

Dalam percakapan dan penulisan, antara yang kerap menjadi masalah (berterabur) adalah penggunaan dari, daripada, baru dan baharu. Saya sendiri bukan pakar bahasa, namun hasrat hati adalah supaya rakan sekelian tidak melakukan kesilapan yang saya telah lakukan dalam menggunakan kata sendi dan sifat tersebut.

Dari dan Daripada

Dari digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menyatakan arah, waktu/masa dan tempat.

Contoh: Datang dari mana, dari pukul berapa, dari barat.

Daripada pula digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menyatakan punca bagi manusia, haiwan/benda, asal kejadian, sumber, unsur perbandingan/perbezaan.

Contoh: Daripada siapa, daripada apa, sebahagian daripada milik, separuh daripada keseluruhan.

Baru dan Baharu

Baru adalah kata bantu yang digunakan untuk menyatakan tempoh/masa (just).

Contoh: baru sampai, baru siap, baru bertolak, baru-baru ini.

Baharu pula kata sifat digunakan untuk menyatakan perubahan (new).

Contoh: diperbaharui, pembaharuan, rumah baharu.

Bagaimanapun, merujuk Kamus Dewan, baharu juga bermaksud baru. Bagaimana? Tidak semua 'baru boleh menjadi baharu' dan 'yang baharu boleh menjadi baru'. Ini boleh dilihat jelas dalam banyak penggunaan karya klasik hinggalah moden. Karya klasik memperlihatkan kata baharu lebih banyak digunakan, dan beberapa kajian menunjukkan pemodenan bahasa menghilangkan 'ha' dalam banyak perkataan seperti 'sahaya' menjadi 'saya'.

Justeru, penggunaan kata 'selamat tahun baru', 'kereta baru', 'rumah baru' tidak boleh dianggap salah. Tetapi tiada pula penggunaan 'membarukan' atau 'dibarui' dalam penulisan, menunjukkan ia adalah janggal atau salah.

Belajar berilmu.


- Posted using BlogPress from my iPad